KUALA LUMPUR 13 Julai - Seramai 1.8 juta penduduk Genting Gaza tidak mampu berlindung atau lari ke mana-mana ketika peperangan Operasi Perlindungan Sempadan (Operation Protective Edge) yang dilancarkan tentera Zionis ketika ini.
Malah, penduduk Gaza hanya berserah kepada Allah dan menerima apa sahaja situasi yang bakal menimpa mereka ketika tentera Zionis mula memperhebatkan kekuatan ketenteraan melalui darat di sempadan Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Gaza, Ir. Omar Seyam berkata, ketika ini tentera Zionis mensasarkan apa sahaja yang ada di Gaza termasuk kenderaan, rumah penduduk awam, masjid, sekolah dan hospital.
"Kita tidak boleh lari. Tidak ada tempat untuk kami berlindung. Kami hanya bergantung kepada kemampuan tentera mujahidin Izzuddin al-Qassam untuk mempertahankan serangan yang dilakukan tentera Zionis.
"Sekarang, penduduk Gaza semakin risau untuk keluar bersolat Terawih di masjid kerana kemungkinan mereka tidak akan kembali ke rumah semula.
"Ini berikutan tentera Zionis sudah membedil sebanyak empat masjid dan mengorbankan ramai jemaah ketika solat sunat Terawih dijalankan.
"Tiada undang-undang bagi mereka (Zionis). Ketika ini mereka akan memperhebatkan bedilan roket dari udara ketika waktu sahur. Ini boleh melibatkan ramai yang gugur syahid," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia dalam sesi sidang video Skype langsung dari Gaza, Palestin.
Menurut Ir. Omar lagi, operasi ketenteraan Zionis yang kini sudah memasuki hari ketujuh itu telah mengorbankan 179 nyawa termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua manakala lebih 1,500 lagi cedera parah.
"Korban penduduk Gaza ini dijangka akan meningkat jika operasi darat mula dijalankan tentera Zionis kerana kami terkepung," katanya.
Korban kekejaman Zionis itu tinggi kerana kebanyakan rumah penduduk Gaza didiami oleh paling minimum lapan orang sekeluarga.
Sebagai contoh kata beliau, semalam, rumah keluarga Ketua Polis Gaza, Kolonel Tayseer Al Batch yang terkena bedilan roket selepas Zionis membedil masjid berdekatan turut mengorbankan 18 ahli keluarga termasuk ketua polis itu.
"Mesir pula terus berdegil untuk tidak membuka pintu sempadan di Rafah, jadi kami terus terkepung.
"Kemungkinan ini kali terakhir saya berbual dengan saudara. Mana tahu rumah saya bakal dibom selepas ini.
"Apa pun kami berserah kepada Allah. Hanya di Gaza, kemungkinan anda akan bersahur di sini dan insya-Allah berbuka di Jannah," katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140714/dn_24/Penduduk-Gaza-terkepung-boleh-terkorban-bila-bila-masa#ixzz37ON1L0w4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment