Friday 15 August 2014

Duta Palestin juga tukang azan


KUALA LUMPUR: Walaupun tugas asasinya sebagai wakil rasmi ke Malaysia, Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar H Al Agha sering dijemput untuk menjadi muazin bagi beberapa majlis dan masjid di sekitar Kuala Lumpur.
Bermula dengan Majlis Iftar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pada 23 Julai lalu, beberapa pihak lain, termasuk menteri turut menjemputnya untuk menyampaikan azan ketika masuk waktu solat.
Dalam temu ramah dengan BH Online di Kedutaan Palestin di Jalan Pegawai baru-baru ini, Dr Anwar berkata beliau sendiri tidak tahu kenapa beliau sering diminta untuk melaungkan azan.
"Mungkin selepas mendengar azan saya di kediaman rasmi Perdana Menteri pada Ramadan lalu, hadirin lain pula ingin mengambil kesempatan untuk meminta saya melakukannya pada majlis mereka.
"Mungkin juga dengan cara ini mereka dapat memperkenalkan wakil Palestin pada majlis yang dianjurkan," katanya.
Sebagai memenuhi permintaan penulis, temu ramah dengannya Jumaat lalu dimulakan dengan rakaman azan yang boleh disaksikan dengan melayari video dalam BH Online. Beliau mempunyai suara lunak dan mampu membawa alunan azan panjang terutama pada bait terakhir.
Antara majlis lain di mana beliau dijemput menjadi muazin termasuk solat Jumaat di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu, di rumah terbuka Aidilfitri Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri di Hotel Nouvelle, Sungai Besi pada 11 Ogos dan satu lagi majlis ketika beliau mengunjungi Kota Kinabalu di Sabah.
Dr Anwar yang kini mengiringi delegasi Malaysia ke Gaza anjuran Pergerakan Putera UMNO, mula bertugas di Kuala Lumpur sebagai wakil Kerajaan Perpaduan Palestin bagi menggantikan Abdelaziz Abughoush, empat bulan lalu.
Dr Anwar dilantik sebagai wakil Kerajaan Perpaduan Palestin bagi menggantikan Abdelaziz Abughoush empat bulan lalu.
Berasal dari bandaraya Khan Yuonis di Semenanjung Gaza, beliau berkelulusan Sarjana Kedoktoran dalam Pengurusan Pendidikan dan Sarjana Sastera Pendidikan.
Selain berpengalaman sebagai pensyarah, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Media dan Perhubungan Awam di Kementerian Perumahan Pihak Berkuasa Palestin.
Sebelum menjadi duta ke Malaysia, beliau berkhidmat di Sri Lanka dan Maldives.
Ikuti temubual dengan Dr Anwar membincangkan mengenai nasib Palestin dalam siri pertama di BH Online esok.

No comments:

Post a Comment