Friday 15 August 2014

Gaza berdarah: Masjid ranap dibedil Israel


2014/08/14 - 03:13:32

Kuala Lumpur: Masjid Al-Qassam bernilai RM1.2 juta yang dibina oleh Aman Palestin, hasil sumbangan dana rakyat Malaysia untuk kemudahan umat Islam sekitar Abbasan al Kabeera, Khan Younis, ranap dibom Israel yang mengganas di Gaza.

Selain masjid dua tingkat yang mampu menampung 3,000 jemaah terbabit, TADIKA yang turut disediakan bersebelahannya juga musnah dalam serangan minggu lalu.


Kediaman penduduk turut dimusnahkan

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, berkata kediaman penduduk berdekatan masjid juga dimusnahkan dalam serangan itu, menjadikan kawasan berkenaan umpama padang jarak.

Beliau berkata, masjid asal di lokasi sama dimusnahkan oleh Israel, juga secara pengeboman di wilayah terbabit pada perang 2008.

Simpati dengan kesulitan umat Islam di situ yang terpaksa bersolat di bawah khemah, Aman Palestin dengan sokongan rakyat Malaysia, mengambil alih pembinaan semula mulai 2010. Masjid Al-Qassam digunakan umat Islam setempat mulai akhir tahun 2013 sebelum perasmian disempurnakan April lalu.

Namun minggu lalu, masjid berkenaan sekali lagi dibom oleh Israel hingga ranap.
Nasib malang itu disedari petugas Aman Palestin di Gaza ketika membuat tinjauan sepanjang tempoh gencatan senjata tiga hari yang berakhir hari ini (semalam), katanya kepada BH.

Awang Suffian berkata, susulan itu, Aman Palestin bertekad mendirikan kembali masjid terbabit demi kemudahan umat Islam setempat dan janji itu sudah disampaikan menerusi CEO Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam.

Usaha membangunkan semula masjid itu akan digerakkan sebaik gencatan senjata panjang dicapai di Gaza, supaya bantuan kemanusiaan lebih mudah dihantar, katanya.

Sumbangan untuk pembinaan semula masjid berkenaan boleh disalurkan menerusi pejabat cawangan Aman Palestin di seluruh negara dengan melayari laman web www.amanpalestin.net atau menerusi akaun Bank Islam: 12029010047880 atau Maybank: 562263010787.

No comments:

Post a Comment