Friday, 15 August 2014

Maut dalam saf


Kaherah (Mesir): Dalam sekelip mata dia bukan saja kehilangan seorang abang, malah terpaksa meneruskan hidup dengan hanya sebelah kaki selain mengalami kecederaan parah di perut akibat terkena bedilan peluru berpandu rejim Zionis Israel.
Remaja Palestin, Mohd Salim, 19, ketika itu sedang duduk dalam saf bersama abangnya di Masjid Suleiman, Khan Yunis untuk menunaikan solat Isyak, 14 Ramadan (12 Julai) lalu apabila serangan tentera udara Israel meranapkan masjid dan membunuh sebahagian daripada 330 jemaah. 
Abangnya antara yang syahid dalam serangan itu dan dia pula dibawa ke hospital berhampiran sebelum dipindahkan ke Hospital Palestin di sini untuk rawatan susulan. 

Akibat kecederaan yang dialami, doktor terpaksa memotong sebahagian kaki kanannya bermula dari paras lutut ke bawah manakala sebahagian kaki kiri dan perut terpaksa dibedah untuk mengeluarkan serpihan.
Foto
ABU Salamah (dua kiri) menunjukkan kecederaan dialami anak saudaranya Mohd Salim kepada Abdul Azeez. FOTO Miorazlan Mior Kamarulbaid

Dia saban hari memikirkan nasib kedua ibu bapa serta lima lagi beradiknya yang masih berada di Gaza dan berdoa agar mereka sentiasa dalam keadaan selamat.

Bapa saudaranya, Abu Salamah yang menceritakan tragedi menimpa Mohd Salim berkata mati syahid pada bila-bila masa adalah realiti masyarakat di Gaza namun percaya satu hari nanti Palestin akan bebas daripada cengkaman Zionis Israel. 

"Akan tiba masanya umat Islam seluruh dunia akan bersatu membebaskan Gaza dan bumi Palestin. Dengan izin Allah kita semua akan solat berjemaah di Kota Al-Quds (Masjid Al-Aqsa)," katanya ketika ditemui di sisi Mohd Salim di sini semalam. 

Kisah menyayat hati Mohd Salim turut mendapat perhatian Presiden Kelab Putera 1Malaysia merangkap Ketua Misi Kemanusiaan Malaysia ke Gaza, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat beberapa mangsa konflik di Hospital Palestin bersama Duta Besar Palestin di Malaysia Dr Anwar Al-Agha dan doktor pakar. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

No comments:

Post a Comment