• Sukarelawan Iraq berkumpul untuk menyertai tenteranya memerangi ISIL. Foto: AFPSukarelawan Iraq berkumpul untuk menyertai tenteranya memerangi ISIL. Foto: AFP

PARIS - PERANCIS. Presiden Perancis mengumumkan negaranya akan menyertai Amerika Syarikat untuk menghantar senjata kepada tentera Kurdish bagi memerangi Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Iraq.

Menurut laporan Middle East Eye, Presiden Francois Hollande dalam satu kenyataan berkata, beliau membuat keputusan untuk menghantar senjata bagi memenuhi keperluan yang diperlukan pihak berkuasa di wilayah Kurdistan menerusi perjanjian dengan Baghdad.

"Perancis berhasrat memainkan peranan aktif bersama rakan dan pihak berkuasa Iraq dalam menyediakan semua bantuan yang diperlukan," katanya.

Hujung minggu lalu, negara berkenaan menyediakan 18 tan bantuan kemanusiaan dan penghantaran bantuan baharu sebanyak 20 tan telah tiba di utara Iraq kelmarin.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Perancis Bernard Cazeneuve memaklumkan, terdapat hampir 900 rakyat negara itu menjadi militan dan berjuang di Syria serta Iraq.

"ISIL melatih dan membawa mereka ke zon perang. Apa yang dibimbangi pihak keselamatan adalah militan Eropah menggunakan kemahiran berperang yang dimiliki di tanah air setelah mereka pulang," katanya.

Menteri Luar Australia Julie Bishop turut memberitahu, kira-kira 150 rakyat negara terbabit juga dipercayai telah menyertai kumpulan militan di dua negara bergolak itu.