Friday 15 August 2014

Derita bertimpa bedilan Zionis


Kaherah: Dalam sekelip mata dia bukan saja kehilangan seorang abang, malah terpaksa meneruskan hidup dengan hanya sebelah kaki selain mengalami kecederaan parah di perut akibat terkena bedilan peluru berpandu rejim Zionis Israel.

Remaja Palestin, Ghasam Salim, 19, ketika itu duduk dalam saf bersama abangnya di Masjid Suleiman, Khan Yunis untuk menunaikan solat Isyak, 14 Ramadan (12 Julai) lalu apabila serangan tentera udara Israel meranapkan masjid dan membunuh sebahagian daripada 330 jemaah.


Abangnya antara yang syahid dalam serangan itu dan dia pula dibawa ke hospital berhampiran sebelum dipindahkan ke Hospital Palestin di sini untuk rawatan susulan.



Akibat kecederaan yang dialami, doktor terpaksa memotong sebahagian kaki kanannya dari paras lutut ke bawah manakala sebahagian kaki kiri dan perut terpaksa dibedah untuk mengeluarkan serpihan.


Dia saban hari memikirkan nasib ibu bapa serta lima lagi adik-beradiknya yang masih berada di Gaza dan berdoa mereka sentiasa dalam keadaan selamat.


Bapa saudaranya, Abu Salamah yang menceritakan tragedi menimpa Ghasam Salim berkata, mati syahid pada bila-bila masa adalah realiti masyarakat di Gaza namun percaya satu hari nanti Palestin akan bebas daripada cengkaman Zionis Israel.

“Akan tiba masanya umat Islam seluruh dunia akan bersatu membebaskan Gaza dan bumi Palestin.


“Dengan izin Allah kita semua akan solat berjemaah di Kota Al-Quds (Masjid Al-Aqsa),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment