Friday 15 August 2014

Keganasan Zionis tak halang perkahwinan


Pasangan itu melangsung perkahwinan mereka di sebuah bangunan sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza, yang kini dijadikan pusat perlindungan pelarian. 
Kelmarin, beberapa jam sebelum gencatan senjata 72 jam antara Israel dengan Hamas berakhir, sekolah yang terletak di kem pelarian Shati diubah menjadi dewan, dihiasi dengan belon pelbagai warna untuk meraikan pasangan berkenaan. 

Heba Fayad, 23. dan Omar Abu Namar, 30, sebelum ini merancang berkahwin bulan depan. Tetapi serangan Israel memusnahkan rancangan mereka.
Foto
HEBA dan Omar melangsungkan perkahwinan mereka di sekolah yang ditadbir PBB dan kini dijadikan pusat perlindungan penduduk Gaza yang menjadi sasaran keganasan Israel.

Rumah keluarga Heba musnah. Begitu juga dengan persiapan perkahwinan - pakaian, aksesori, bunga - semuanya hangus apabila pesawat Zionis menghujani wilayah yang didiami hampir 1.8 juta penduduk Palestin itu dengan bom.

Dengan pembinaan semula dijangka mengambil masa bertahun-tahun, Heba memutuskan untuk menyegerakan majlis itu tanpa perlu menanti rumahnya dibina semula. 

“Jika tidak berkahwin hari ini, mungkin saya tidak boleh berkahwin dalam masa tiga tahun lagi,” katanya. 

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) dan agensi bantuan lain turut membantu pasangan itu mencapai impian mereka. 

Sebahagian daripada kesungguhan Heba untuk melangsungkan perkahwinan itu tanpa mempedulikan suasana perang ialah hakikat bahawa dia sendiri sudah mengalami beberapa serangan Israel dan keluarganya terpaksa membayar harga yang tinggi. 

Ibunya, Nabila, kini terpaksa menggunakan kerusi roda selepas cedera dalam serangan Israel pada 2006. 

Nabila juga kehilangan anak lelaki yang berusia sembilan tahun dalam serangan Israel itu. 

“Heba ialah kehidupan saya. Saya inginkan majlis perkahwinannya diadakan dalam keadaan lebih baik. Tetapi apa daya kami. Israel memusnahkan impian kami,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment