KAHERAH 14 Ogos - Bibir pemuda ini bergerak-gerak untuk cuba menyatakan sesuatu, sebelum air mata mengalir di pipinya apabila terlalu sedih kerana tidak dapat meluahkan perasaanya.
Ghasam Salim Abu Azab, 19, yang sebelum ini sihat dan cergas, kini terlantar di perbaringan akibat cedera.
Kehidupan anak bongsu daripada tujuh beradik itu berubah sepenuhnya apabila serangan yang dilancarkan Israel pada satu malam Ramadan baru-baru ini, bukan sahaja menjadikannya cacat, malah meragut nyawa abangnya.
Satu letupan, dipercayai berpunca daripada peluru berpandu yang dilancarkan sebauh jet pejuang F-16, menyebabkan kaki kanan pemuda ini terpaksa dipotong dari bahagian atas lutut dan alat penyokong tulang pula dipasang pada kaki kirinya.
Ghasam juga mengalami kecederaan usus dan memerlukan 'colostomy' - kaedah untuk membolehkannya membuang air besar melalui lubang di bahagian perut - manakala jarinya pula luka teruk serta mengalami gangren.
Bapa saudaranya Salamah Abu Azab, 50, yang menemani Ghasam di Hospital Bulan Sabit Merah Palestin di Heliopolis di sini, berkata keadaan yang dialami Ghasam tidak melemahkan semangatnya untuk terus berjuang demi tanah air tercinta.
"Beliau menyatakan kepada saya, apabila dapat berjalan semula, beliau akan pulang ke rumahnya di Khan Younis dan berjuang menentang Israel sehingga gugur syahid," kata Salamah kepada Bernama menerusi penterjemah.
Selain Ghasam, ibu bapa dan lima lagi beradiknya Semenanjung Gaza, selamat dalam serangan kejam itu.
Pemuda itu adalah antara 14 rakyat Palestin yang dihantar ke Hospital Palang Merah Palestin di Kaherah bagi mendapatkan rawatan setelah menjadi mangsa dalam serangan tentera Israel di Gaza mulai 8 Julai.
Dibiayai Palang Merah Palestin, ia adalah antara hospital di ibu negara Mesir ini yang memberi rawatan kepada pesakit kritikal dari Palestin. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140814/lu_14/Gaza-Kecederaan-tidak-jejas-semangat-perjuangan-Ghasam#ixzz3APSJwhWw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment