Friday, 15 August 2014

Gencatan bersambung lima hari lagi


AFP
DUA lelaki Palestin menikmati sarapan pagi di hadapan bangunan pangsapuri yang rosak di Beit Hanun, Gaza kelmarin.


BAITULMUQADDIS - Israel dan Hamas meneruskan gencatan senjata semalam selepas satu perjanjian gencatan baharu dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Namun, gencatan senjata itu hampir berkubur selepas Hamas mmbedil roket dari Gaza yang disusuli serangan udara tentera rejim Zionis malam kelmarin.
Pada lewat kelmarin, rundingan di Kaherah, Mesir berjaya mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata selama 72 jam sebelum ini kepada lima hari lagi.
Keputusan itu dicapai selepas gencatan senjata sebelum ini tamat kelmarin.
Bagaimanapun, sebelum gencatan senjata baharu itu diumumkan, tentera Israel memberitahu sekurang-kurannya satu serangan roket mengenai wilayahnya diikuti lima lagi serangan serupa beberapa jam kemudian.
Beberapa pegawai Palestin berkata, Israel membalas serangan itu dengan limelancarkan lima serangan udara sebelum situasi kembali tenang kira-kira pukul 3 pagi waktu tempatan.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan oleh kedua-dua pihak.
"Satu perjanjian untuk melanjutkan gencatan senjata selama lima hari lagi telah diterima oleh kedua-dua belah pihak bagi memberikan lebih masa untuk rundingan dijalankan," kata Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan sebelum tengah malam kelmarin.
Ketua perunding Palestin, Azzam al-Ahmed mengesahkan lanjutan gencatan senjata itu dan memberitahu mereka telah mencapai 'persetujuan dalam mana perkara' berhubung tuntutan bagi mengakhiri sekatan Israel ke atas Gaza sejak lapan tahun lalu.
Bagaimanapun, ujarnya, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan beberapa tuntutan lain.
Seorang pegawai Israel juga mengesahkan pihaknya menerima cadangan Mesir untuk melanjutkan gencatan senjata selama lima hari lagi.
"Kami menerima cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata itu. Pendirian kami sejak mula lagi adalah menyokong gencatan senjata tanpa syarat tetapi persoalannya adakah Hamas akan melakukan perkara yang sama.
"Pada malam semalam (kelmarin) selepas Hamas melanggar gencatan senjata kami menerima arahan untuk bertindak balas," ujarnya.
Sementara itu, Azzam berkata, para perunding Israel pulang ke negara mereka lewat kelmarin dan delegasi Palestin dijangka pulang semalam.
Namun, tidak dapat dipastikan bila delegasi dari kedua-dua belah pihak akan kembali semula ke Kaherah untuk menyambung semula rundingan.
Lebih 1,950 penduduk Gaza yang majoritinya orang awam terbunuh manakala seramai 67 warga Israel maut sejak tentera rejim Zionis melancarkan serangan di Gaza pada 8 Julai lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0815&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3APW55CDV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment