Jumaat, 15 Ogos 2014 @ 5:29 AM
BANDARAYA GAZA: Israel dan pejuang di Gaza masing-masing tidak melepaskan tembakan pagi semalam selepas perjanjian gencatan senjata baharu diteruskan walaupun bermula goyah, dengan bedilan roket Palestin pada waktu malam disusuli dengan serangan udara rejim Zionis.
Lewat tengah malam kelmarin, pada perbincangan yang berlanjutan sehingga ke saat-saat akhir sebelum berakhirnya tempoh gencatan senjata 72 jam, kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh gencatan berkenaan selama lima hari lagi untuk membolehkan rundingan diteruskan bagi mencapai persetujuan gencatan senjata lebih panjang.
Tentera Israel berkata, tiada pertempuran selama beberapa jam, sejak serangan udara Israel ke atas Gaza berakhir kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan.
Pejuang Palestin membedil dua roket ke selatan Israel dua jam sebelum itu, selepas lanjutan gencatan senjata lima hari berkuat kuasa.
Jurucakap tentera berkata, pesawat menyerang kawasan pelancaran roket, simpanan senjata dan pusat aktiviti pejuang tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Selepas beberapa hari menggunakan cara diplomasi, perjanjian yang dianjurkan Mesir dicapai dalam apa yang berkemungkinan menjadi tempoh bertenang paling panjang dalam konflik selama lima minggu itu, dan membolehkan rundingan mengenai isu paling penting yang memisahkan kedua-dua pihak diteruskan, kata Palestin.
"Persetujuan dicapai untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata selama lima hari, yang diterima kedua-dua pihak untuk memberi lebih banyak masa untuk rundingan," kata jurucakap Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.
Ketua perunding Palestin, Azzam al-Ahmed berkata anggota delegasi mencapai "persetujuan dalam banyak perkara" berhubung penarikan balik sekatan lapan tahun Israel terhadap Gaza, meskipun mereka memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan pertikaian yang lain.
Israel juga berkata ia menerima cadangan Mesir.
"Kami telah menerima lanjutan tempoh gencatan senjata," kata seorang pegawai kanannya.
Perjanjian gencatan senjata sebelum ini gagal dalam gelombang keganasan 7 Ogos lalu.
Lebih 1,950 penduduk Palestin maut dan 67 di pihak Israel sejak 8 Julai lalu, apabila Israel melancarkan serangan untuk memusnahkan roket dan terowong Hamas. - AFP
No comments:
Post a Comment