Saturday 12 July 2014

Solat hajat selamatkan Palestin



PARA jemaah mendoakan keselamatan seluruh rakyat Palestin yang sedang berhadapan serangan tentera Israel di Masjid Negeri , Sabah. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin
KUALA LUMPUR 11 Julai - Umat Islam hari ini mengambil peluang selepas solat Jumaat untuk mengerjakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang berdepan dengan kekejaman rejim Zionis.
Di PUTRAJAYA, kira-kira 5,000 jemaah meluangkan masa menunaikan solat hajat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) memohon agar penindasan tentera Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza ditamatkan segera.
Bacaan Qunut Nazilah dalam solat Jumaat turut diadakan di masjid yang terletak di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu memohon agar kemenangan diberikan ke atas rakyat Palestin menentang kezaliman Israel.
Terlebih dahulu dalam khutbah Jumaat yang bertajuk Menyingkap Rahsia Ramadan, khatib menyeru umat Islam menunaikan bacaan Qunut Nazilah dan solat hajat untuk membantu rakyat wilayah bergolak itu.
Permohonan doa pada hari ke-13 umat Islam berpuasa itu turut dianjurkan bagi memohon kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Syria.
Sementara itu, di KUANTAN, lebih 1,000 umat Islam menunaikan solat hajat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini untuk memohon Allah supaya melindungi rakyat Palestin yang kini berhadapan kekejaman tentera rejim Israel.
Solat hajat yang diadakan selepas solat Jumaat itu diimamkan oleh Imam 1, Mohd. Khalil Mohd. Zari.
Selain Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, masjid-masjid utama yang lain di seluruh negeri ini turut mengadakan solat hajat susulan kekejaman terbaru tentera Zionis di Gaza.
Israel mula melakukan serangan udara ke atas Gaza sejak empat hari lalu mengakibatkan 82 orang terbunuh setakat semalam.
Operasi itu juga merupakan yang terbesar dilakukan Israel ke atas Gaza sejak 2012.
Di SEREMBAN, ribuan umat Islam turut menunaikan solat hajat sebaik sahaja selesai mengerjakan solat Jumaat di Masjid Negeri di sini hari ini bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang kini berhadapan kekejaman tentera rejim Zionis.
Solat hajat dan doa itu telah diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Mohd. Nidzar Nor Mohammad.
Terdahulu, sewaktu mengerjakan solat Jumaat, turut diadakan bacaan Qunut Nazilah dengan doa supaya rakyat Palestin, khususnya di bumi Gaza dilindungi oleh Allah SWT daripada perbuatan keji yang dilakukan Israel ke atas mereka.
Turut serta mengerjakan solat Jumaat dan solat hajat itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bumi Gaza di Palestin kini menerima asakan dan bedilan Israel selepas sehingga semalam sebanyak 700 serangan ke atas 300 sasaran dilakukan mereka dan dilaporkan bilangan yang terkorban termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas sedang meningkat.
Sementara itu demo bantahan terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dibuat di pekarangan Masjid Negeri ini selepas solat hajat oleh sekumpulan individu, antaranya mengutuk tindakan yang dilakukan rejim Zionis terhadap umat Islam di Gaza terutama dalam bulan Ramadan ini.
Dalam pada itu di Masjid Abdullah Sijang, Port Dickson umat Islam yang selesai mengerjakan solat Jumaat di situ telah bertindak memijak bendera Israel serta ada yang membakarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140712/dn_03/Solat-hajat-selamatkan-Palestin#ixzz37GcksZRh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment