JEDDAH - ARAB SAUDI. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan segera serangan udara Israel terhadap Gaza yang kini meragut lebih 80 penduduk sejak empat hari lalu.
Setiausaha Agung OIC Iyad Madani berkata, satu jawatankuasa dibentuk untuk meminta Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa bersama-sama berkempen menghentikan keganasan ini.

“Jawatankuasa mengarahkan Duta OIC bermesyuarat dengan Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva dan membentuk suruhanjaya antarabangsa bagi menyiasat jenayah dan pelanggaran undang-undang antarabangsa dilakukan Israel,” katanya dipetik Arab News

Menurutnya, ahli OIC dan menteri-menteri luar mesti menggembleng usaha secepat mungkin untuk menghentikan keganasan ini sebelum meragut lebih banyak nyawa.

“OIC akan menunjukkan bukti undang-undang untuk mengukuhkan dakwaan bahawa Israel adalah kerajaan Aparteid. Kami menghadapi realiti pahit melihat ramai rakyat Palestin menjadi mangsa kekejaman,” katanya.

Sementara itu, Menteri Negara Arab Hal Ehwal Luar Nizar Obaid Madani berkata, Israel melanggar semua syarat konvensyen antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Sebanyak 57 anggota OIC akan bersetuju menyokong mesyuarat tergempar Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva bagi menyiasat jenayah antarabangsa ini  dan pencabulan hak penduduk Palestin.