Saturday 12 July 2014

9 penyokong bola sepak maut ketika tonton perlawanan di Gaza


2014/07/11

BANDARAYA GAZA: Sembilan penyokong bola sepak terbunuh, sementara 15 yang lain cedera ketika menonton saingan separuh akhir Piala Dunia antara Belanda dan Argentina, pagi semalam apabila Israel membedil lokasi mereka berkumpul di pantai Semenanjung Gaza.

Kejadian itu berlaku di Khan Yunis, selatan Gaza ketika semua anak muda berusia lingkungan 20-an berkenaan sedang berkumpul di sebuah kafe untuk mengikuti saingan bola sepak.

Menurut sumber perubatan Bandaraya Gaza seperti dipetik menerusi portal News Team dan Daily Mail, lapan mangsa mati serta merta di tempat kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Tiga yang meninggal di tempat kejadian dikenali Ahmed, Suleiman, dan Mussa Astal - dituntut ahli keluarga selepas kejadian itu dan sudah dikebumikan.

Seorang anggota polis yang ditemui melaporkan kesemua anak muda berkenaan termasuk beberapa orang kanak-kanak sebelum itu baru selesai berbuka puasa sebelum menonton perlawanan itu.

Beliau berkata, kafe itu hancur musnah dan mengesahkan lokasi bedilan rejim itu bukan kawasan tentera.

Kezaliman tentera udara Israel menyerang Semenanjung Gaza yang memasuki hari keempat hari ini menyaksikan angka kematian semakin meningkat mencecah 88 orang dengan sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak dibunuh sejak serangan itu bermula.
Sementara itu, 339 mangsa yang lain cedera, ramai di kalangan mereka adalah orang awam. - Agensi. 

No comments:

Post a Comment