Saturday 12 July 2014

Hospital Gaza makin sesak

Hospital Gaza makin sesak
PENDUDUK Palestin berjalan di celah runtuhan bangunan akibat serangan tentera Zionis di Gaza, semalam.
 Kuala Lumpur: Keganasan Israel melancarkan serangan roket dan peluru berpandu terhadap Gaza, yang memasuki hari ketiga semalam, menyaksikan hospital sekitar wilayah terbabit semakin sesak apabila orang awam yang cedera meningkat kepada 750 orang semalam.

Serangan oleh pesawat pejuang, F16, dan helikopter tempur, Apache, dibantu pesawat tanpa pemandu atau dron, dengan penanda laser, setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 80 penduduk.

Sebahagian besar mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan wanita, yang terbunuh akibat peluru berpandu yang disasarkan terhadap kawasan kediaman malam kelmarin. Serangan malam kelmarin disasarkan ke utara Gaza, Rafah, Khan Younis dan Beit Hanoun.
Sebuah kereta ditanda sebagai kenderaan media dengan tulisan TV, turut diserang peluru berpandu Israel di Utara Gaza malam kelmarin, menyebabkan tubuh wartawan Palestin, Hamed Shehab, 27, berkecai. Pejabat polis Palestin di Deir Al Balah turut diletupkan Zionis.

Sehingga tengah hari semalam, media Arab dari Gaza, melaporkan rejim Zionis sudah mengugurkan 800 tan bahan letupan terhadap 750 sasaran di seluruh Gaza. Jumlah terbabit melebihi bahan letupan digunakan rejim itu, sepanjang lapan hari keganasan Israel terhadap Gaza pada tahun 2012.

Petugas Unit Media Aman Palestin- Malaysia di Gaza, Hamza Deirawi, berkata 10 hospital utama sekitar Gaza kini dipenuhi pesakit yang cedera parah dan memerlukan pembedahan segera.

No comments:

Post a Comment