|
GAZA - Bilangan kematian penduduk Palestin akibat serangan tentera Israel di Gaza mencecah 100 orang dalam serangan yang masuk hari keempat semalam.
Angka terbaharu itu melibatkan dua orang yang terbunuh dalam serangan udara Israel di tengah Gaza.
Israel sebelum ini mendakwa serangan ke atas Gaza dilancarkan untuk menamatkan bedilan roket Hamas yang mengenai beberapa kawasan dan bandar termasuk di Tel Aviv serta Baitulmuqaddis.
Sebuah sayap ketenteraan pergerakan Hamas turut memberi amaran ia berhasrat untuk menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Israel.
Menurut sayap ketenteraan Hamas itu, ia akan melakukan serangan tersebut menerusi roket yang dilancarkan dari Gaza.
Satu kenyataan sayap itu berharap, tiada pesawat lain yang akan terbang di lapangan terbang tersebut ketika serangan roket dilancarkan.
Satu serangan roket turut dilancarkan ke wilayah Yahudi itu dari Lebanon.
Roket itu mendarat di utara Israel menyebabkan tentera Israel melancarkan serangan artileri untuk memusnahkannya.
Tentera Israel berkata, serangan itu tidak menyebabkan kecederaan, kematian dan kerosakan di kawasan dekat Metula.
Jurucakap tentera Israel, Peter Lerner berkata, pihaknya akan mengemukakan aduan kepada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon ekoran serangan roket tersebut.
Menurutnya, pasukan itu memantau perkembangan di sempadan Lebanon dengan Israel.
Dalam pada itu, beberapa pegawai perubatan Gaza memberitahu, empat orang maut dalam serangan Israel pada waktu sahur semalam.
"Satu serangan udara rejim Zionis mengenai sebuah rumah di bandar Gaza dan meragut nyawa seorang doktor," kata beberapa pegawai Palestin.
Tiga lagi orang awam terkorban apabila jet Yahudi mengebom sebuah rumah tiga tingkat di Rafah, menurut beberapa pegawai perubatan dan penduduk setempat.
|
Serangan Israel itu turut melibatkan bedilan kereta kebal di timur Rafah manakala jet-jet rejim Zionis turut melancarkan serangan bom dekat sempadan Gaza-Mesir.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan kelmarin dalam satu ucapan televisyen bahawa serangan ke atas Gaza berjalan seperti yang dirancang dan akan ditingkatkan pada masa depan.
Beliau dan beberapa pegawai kanan rejim Zionis turut menimbang beberapa pilihan dalam kempen ketenteraan ke atas Palestin termasuk melancarkan serangan darat tanpa mendedahkan tarikhnya.
Kali terakhir Israel melancarkan serangan darat ke atas Gaza adalah pada awal 2009.
Dalam pada itu di Gaza, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri bertegas untuk tidak menyerah kalah.
"Kami tersepit dan kami tidak mengalami kerugian. Malah, kami bersedia untuk berperang sehingga ke titisan darah yang terakhir," katanya.
Tentera Israel menyatakan, lebih 470 bedilan roket disasarkan ke arah Israel sejak Selasa lalu.
Serangan roket itu dilancarkan Hamas dan beberapa kumpulan pejuang lain.
Namun, serangan itu tidak menyebabkan kematian atau kecederaan serius.
Israel pula membedil lebih 860 sasaran dalam serangan balas ke atas Gaza.
Dalam satu perbincangan telefon kelmarin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberitahu Netanyahu bahawa AS bersedia untuk menjadi orang tengah berhubung rundingan satu gencatan senjata antara Israel dan Palestin.
Nada serupa dinyatakan Presiden Perancis, Francois Hollande yang meminta gencatan senjata diadakan ekoran bimbang dengan kematian penduduk awam yang terus meningkat di Gaza. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz37CgiZKJl
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment