Thursday 7 August 2014

Usaha lanjutkan gencatan senjata


2014/08/07 - 08:01:41 AM
Foto
Penduduk Palestin melihat kemusnahan bangunan kesan serangan Israel di Semenanjung Gaza, semalam. - Foto AFP
Foto
Petugas mengeluarkan mayat seorang lelaki Palestin yang tertimbus akibat serangan Israel di Rafah, kelmarin.


Penduduk sedih rumah musnah, syarikat utiliti baik pulih talian telefon, elektrik




BANDARAYA GAZA: Gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang mengakhiri perang selama sebulan memasuki hari kedua semalam, menjelang rundingan di Kaherah bagi satu gencatan jangka panjang dan perjanjian lebih luas bagi Semenanjung Gaza yang dilanda perang.

Dalam masa beberapa hari, Mesir yang menjadi orang tengah berulang alik antara kedua pihak untuk cuba merangka perjanjian itu.

Beberapa perincian muncul mengenai titik rundingan Hamas, kumpulan militan yang mengawal Gaza termasuk satu pembinaan semula di pesisiran pantai yang dibiayai antarabangsa yang akan dipantau kerajaan Palestin diketuai Presiden Mahmoud Abbas.

Sementara itu, Norway menganjurkan satu persidangan penderma dan Abbas yang disokong Barat dijangka untuk mengetuai pemantauan pembinaan semula kawasan wilayah pantai di mana pergerakan Fatah tewas kepada Hamas pada 2007.

Gencatan senjata lama tertangguh dalam satu perang yang membunuh hampir 1,900 penduduk Palestin. Israel kehilangan 67 nyawa termasuk tiga penduduk awam.
Perang tercetus 8 Julai lalu apabila tentera Israel mula mengebom sasaran Gaza selepas mendakwa Hamas memulakan serangan roket ke Israel. Pada 17 Julai, Israel menghantar tenteranya ke wilayah berpenduduk padat untuk menghancurkan terowong bawah tanah yang didakwa dibina Hamas untuk melakukan serangan terhadap Israel.

Tetapi ketegangan Israel-Palestin dikatakan meningkat berikutan pembunuhan tiga remaja Israel pada Jun. Mayat mereka ditemui dua minggu selepas dikatakan hilang di Tebing Barat.

Israel mendakwa Hamas terbabit dalam penculikan itu dan melakukan serangan darat di Tebing Barat, menahan beratus-ratus anggota Hamas dalam buruan mereka.

Pada awal Julai, seorang remaja Arab diculik dan dibakar hidup-hidup oleh pelampau Israel dalam apa yang dikatakan sebagai serangan balas. Enam penduduk Yahudi Israel ditahan dalam pembunuhan itu.

Semalam, kementerian keadilan Israel mengesahkan bahawa suspek yang menjadi dalang pembunuhan tiga remaja Israel ditahan pada Julai.

Suspek terbabit, Husam al-Qawasmi, didakwa mengetuai tiga lelaki yang dituduh Israel menculik dan membunuh rakyatnya. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sekiranya al-Qawasmi didakwa. - AP

No comments:

Post a Comment