Thursday, 7 August 2014

Boikot Zionis secara berhemah


Kuala Terengganu: Polis mengingatkan orang ramai yang membuat demonstrasi memboikot barangan Israel atas keprihatinan terhadap Gaza supaya melakukannya secara profesional dan bukan emosional hingga menjejaskan ketenteraman awam atau merosakkan harta benda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, tidak menjadi kesalahan membuat demonstrasi bagi menyatakan bantahan dan memboikot produk Israel, tetapi ia perlu dilakukan secara profesional, bukannya emosional.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya menunjukkan solidariti dan keprihatinan terhadap apa yang menimpa umat Islam di Gaza, Palestin, tetapi tidak semestinya perlu melakukan tindakan yang boleh menjejaskan, membahayakan serta menyusahkan orang lain dan melanggar undang-undang.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan merosakkan premis ketika mereka mengadakan demonstrasi memboikot barangan Israel.

“Setakat ini, kami belum menerima laporan insiden demonstrasi itu dan mengingatkan semua pihak supaya mengutamakan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden demonstrasi di depan premis McDonald’s Dungun petang kelmarin yang dilihat menakutkan orang ramai terutama pekerja di restoran makanan segera itu selepas ada individu bertindak membaling batu ke arah premis.

Katanya, bagi pihak yang mahu menganjurkan demonstrasi aman, mereka perlu mengemukakan notis kepada Ibu Pejabat Polis Daerah di kawasan masing-masing supaya polis boleh membuat pemantauan dan persediaan.

“Notis kepada polis memaklumkan demonstrasi yang akan diadakan penting supaya kita dapat memastikan jumlah anggota mencukupi untuk memantau dan mengawal keadaan sepanjang demonstrasi diadakan.



“Malah, kita sedia maklum mengenai penganjuran Kempen 24 Jam, Hari Tanpa McDonald’s esok (Jumaat) dan kita harap peserta demonstrasi dapat mengawal emosi masing-masing dan berdemonstrasi secara baik tanpa mewujudkan ketegangan serta huru hara terutama membabitkan orang awam,” katanya.

Sementara itu di Chukai, tindakan segelintir individu yang memboikot restoran makanan segera McDonald’s dengan melontar batu ke arah premis berkenaan di Dungun petang kelmarin menyebabkan pekerja berada dalam ketakutan sehingga ada yang mahu berhenti kerja.

Pemilik McDonald’s Dungun dan Kertih Tuan Syed Hussain Tuan Embong yang kecewa dengan kejadian itu berkata, tindakan boikot hak individu, namun yang dikesalkan tindakan membaling batu ke arah restoran miliknya tidak wajar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

No comments:

Post a Comment