Thursday 7 August 2014

Genting Gaza tanggung kemusnahan RM19.2 bilion


SEBUAH keluarga pulang ke rumah mereka di Beit Hanun, Gaza yang musnah teruk akibat serangan Israel, selepas gencatan senjata selama 72 jam dikuatkuasakan, kelmarin. - AFP
RAMALLAH 6 Ogos - Palestin menanggung kerugian antara AS$4 bilion (RM12.8 bilion) dan AS$6 bilion (RM19.2 bilion) akibat kemusnahan ekoran serangan tentera Israel ke atas Gaza selama sebulan.
Timbalan Menteri Ekonomi Palestin, Taysir Amro semalam berkata, jumlah itu hanya melibatkan kemusnahan terhadap ekonomi Gaza dan beliau menjangkakan nilai tersebut mungkin meningkat berikutan kesan ekonomi yang ditanggung lebih 1.8 juta penduduk Palestin di Gaza.
Beliau berkata, penilaian terperinci akan dilakukan apabila keadaan kembali tenang selepas serangan yang mengakibatkan lebih 1,875 orang terbunuh dan hampir setengah juta penduduk Gaza terpaksa melarikan diri.
Taysir berkata, agensi bantuan antarabangsa dijangka mengadakan pertemuan di Norway pada September ini, namun beliau tidak memberi maklumat lanjut tentang perkara itu.
Sementara itu, gencatan senjata selama 72 jam tajaan Mesir dan Amerika Syarikat (AS) dikuatkuasakan semalam bermula pada pukul 8 pagi (pukul 1 petang waktu Malaysia) ketika tentera Zionis Israek mula meninggalkan sempadan Gaza, setelah melancarkan serangan ke Genting Gaza sejak 8 Julai lalu dan diperluas dengan operasi tentera darat pada 17 Julai lalu.
Bagaimanapun, Israel sempat melancarkan serangan sebelum gencatan senjata itu dikuatkuasakan mengakibatkan beratus-ratus rumah kediaman musnah dan satu-satunya loji janakuasa di Gaza terkena bedilan meriam menyebabkan bekalan elektrik terputus selama 12 jam di seluruh wilayah Palestin itu.
Malah, penduduk Palestin menghadapi kekurangan bekalan air ekoran sekatan Israel dan Mesir. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140807/lu_04/Genting-Gaza-tanggung-kemusnahan-RM192-bilion#ixzz39eXbpWEk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment