• Bendera Malaysia

PUTRAJAYA - Cadangan Malaysia dimasukkan ke dalam Deklarasi yang diterima oleh mesyuarat tergempar Jawatankuasa peringkat Menteri mengenai Palestin, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Tehran, Iran pada Isnin lepas, berhubung situasi di Gaza.
Dalam kenyataannya itu, Malaysia yang diwakili pegawai kanan dari Kementerian Luar, mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel di Gaza, dan mendesak dihentikan segera pencerobohan itu, di samping menarik balik sekatan ke atas Gaza.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Malaysia turut mengetengahkan langkah yang diambilnya untuk mengurangkan penderitaan penduduk Palestin, dan mencadangkan beberapa inisiatif supaya Israel bertanggungjawab atas tindakan mereka itu.
Pada mesyuarat berkenaan Malaysia turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap implikasi lebih besar daripada tragedi itu yang sedang dihadapi penduduk Palestin.
"Cadangan Malaysia dimasukkan dalam satu Deklarasi yang diterima mesyuarat itu," kata Wisma Putra.
Deklarasi itu, antara lain, menegaskan semula sokongan NAM kepada Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman yang dilakukan Israel.
Deklarasi itu turut menggesa supaya langkah diambil agar Israel bertanggungjawab terhadap tindakan itu, termasuk mengadakan persidangan pihak yang menandatangani perjanjian dalam Konvensyen Geneva Keempat.
Gesaan turut dibuat agar dilakukan siasatan berhubung pencabulan Israel terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa melalui inkuiri bebas antarabangsa seperti dimandatkan Majlis Hak Asasi Manusia.
Ia juga memasukkan langkah konkrit untuk meringankan penderitaan kemanusiaan, misalnya menyediakan bantuan kemanusiaan secara segera kepada mangsa, selain menyokong kerja-kerja Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).
  
Iran, selaku Pengerusi semasa NAM, mengadakan mesyuarat tergempar atas permintaan Palestin, susulan pencerobohan baru-baru ini oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza.
Mesyuarat itu diadakan untuk menunjukkan sokongan dan perpaduan NAM berikutan krisis yang sedang dihadapi penduduk Palestin, selain  membincangkan inisiatif untuk menggalakkan penyelesaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh kepada isu Palestin.
Mesyuarat itu dirasmikan Presiden Iran Hassan Rouhani dan dihadiri wakil-wakil daripada anggota Jawatankuasa NAM mengenai Palestin.
Jawatankuasa juga mendengar taklimat oleh Menteri Luar Palestin Dr Riyad Al-Maliki berhubung situasi semasa di Gaza, antara lain beliau menegaskan, lebih 1,800 penduduk Palestin telahpun terkorban.
Wisma Putra berkata penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan dan penduduk Palestin, dalam usaha merealisasikan hak mutlak mereka. - Bernama