Thursday 7 August 2014

Aman Palestin cuba masuk cara lain


Kuala Lumpur: Misi kecemasan khas Aman Palestin akan cuba mengintai peluang lain, sama ada menggunakan tiket daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi doktor sukarelawan untuk masuk ke Gaza, Palestin selepas cubaan pertama mereka gagal pada bulan lalu.

Ketua misinya, Dr Mohamad Nor Sundari berkata, rombongan pertama yang disertai lima petugas perubatan pada 18 Julai lalu gagal untuk memasuki Gaza selepas dihalang oleh pihak berkuasa Mesir di pintu sempadan Rafah berikutan peperangan antara Israel dan Hamas masih berlarutan ketika itu.

Menurutnya, pasukannya terpaksa menunggu di Mesir hampir dua minggu dan pelbagai usaha sudah dilaksanakan termasuk berunding dengan pihak berkuasa negara itu, namun masih gagal untuk memasuki Gaza berikutan perang masih berlaku ketika itu.

“Buat masa ini, kita masih lagi melihat peluang-peluang yang ada untuk masuk ke Gaza sama ada menerusi NGO ataupun perkhidmatan doktor sukarelawan yang ditawarkan oleh PBB.

“Sehingga hari ini (semalam), saya dimaklumkan bahawa pintu sempadan di Rafah masih ditutup kepada petugas NGO.



Bagaimanapun, gencatan senjata yang dimeterai semalam (kelmarin) hanya memberi laluan kepada bekalan makanan serta perubatan masuk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Pada 18 Julai lalu, Dr Muhamad Nor bersama-sama empat pakar perubatan lain berlepas dari Malaysia menuju ke Gaza, namun misi perubatan mereka terpaksa dibatalkan selepas pihak berkuasa Mesir enggan membuka pintu sempadan.

Pasukan itu terdiri daripada Pakar Ortopedik Dr Zairul Nizam Zainol Fitri, Pakar Bius Dr Mafeitzal Mamat, Dr Hasbe Zuraina Abu Bakar dan Pakar Trauma Dr Kamarul Al Haq Abd Ghani.

Dr Mohamad Nor yang juga Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, pasukannya optimis untuk masuk serta membantu petugas perubatan di Gaza kerana doktor bantuan sangat diperlukan memandangkan lebih 8,000 rakyat Palestin mengalami kecederaan sepanjang 29 hari peperangan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

No comments:

Post a Comment