Thursday 7 August 2014

Barat sertai boikot Israel


SEORANG anggota polis Jordan mengawasi penduduk Jordan yang mengadakan tunjuk perasaan menggesa supaya dilancarkan kempen boikot produk keluaran Israel di hadapan bangunan pejabat Perdana Menteri Jordan di Amman, kelmarin. - REUTERS
DUBLIN 6 Ogos - Kempen pulaukan produk-produk Israel kini bukan sahaja dilancarkan di negara-negara Islam tetapi mendapat sambutan di negara-negara bukan Islam di seluruh dunia selepas serangan rejim Zionis ke atas Gaza menyaksikan lebih 1,800 penduduk Palestin terkorban.
Akhbar Australia, The Guardian melaporkan, selain barangan dihasilkan oleh Israel, penduduk negara termasuk Ireland, Sweden dan Norway menggesa universiti, bank, perdagangan serta penjualan senjata api kepada rejim Zionis berkenaan dipulaukan.
Ahli Parlimen Norway, Anniken Huitfeldt yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Parlimen menggesa pemulauan segera ke atas semua produk Israel dihasilkan di kawasan jajahan rejim Zionis itu.
Parti Buruh dan Parti Pusat di Norway juga menggesa polisi penjualan senjata kepada negara dunia ketiga dikaji semula kerana senjata-senjata berkenaan dijual semula kepada Israel.
Di Sweden, gesaan semakin meningkat untuk menghentikan semua kerjasama dalam bidang akademik dan budaya antara institusi negara itu dan Israel.
Di Ireland pula, Majlis Perbandaran Dublin menggesa kerajaan menguatkuasakan penangguhan perdagangan dan penjualan senjata api dengan ISrael.
Sebanyak 17 negara Kesatuan Eropah (EU) turut mengeluarkan garis panduan berhubung risiko berurus niaga dengan Israel.
Antara negara tersebut adalah Portugal, Austria, Malta, Ireland, Finland, Denmark, Luxembourg, Slovenia, Greece, Slovakia, Belgium, Croatia, Perancis, Itali dan Sepanyol.
Kerajaan Maldives pula membatalkan tiga perjanjian dengan Israel dan merancang untuk menghentikan import barangan rejim Zionis itu.
Sementara itu, gesaan di Afrika Selatan semakin memuncak, mendesak Duta Israel ke negara itu dihantar pulang manakala Duta Afrika Selatan ke Israel juga telah dipanggil balik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140807/lu_03/Barat-sertai-boikot-Israel#ixzz39eXKb2Al
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment