Thursday 7 August 2014

Israel tampil dengan tipu helah baharu


KEBIADABAN tentera Israel begitu terserlah apabila mereka bergembira ketika Israel mengumumkan pengunduran tenteranya dari Gaza, kelmarin. - REUTERS
Israel melancarkan gencatan senjata di Gaza masuk hari ketiga, hari ini selepas dua kali gencatan senjata sebelum ini dicabuli oleh Israel sejak rejim Zionis itu melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin tersebut pada 8 Julai lalu.
Seperti dua gencatan senjata terdahulu, gencatan kali ketiga ini selama 72 jam tajaan Mesir juga dianggap sebagai satu gencatan senjata yang goyah dan helah Israel bagi mengabui mata dunia setelah menerima kecaman hebat daripada masyarakat antarabangsa ekoran tindakannya melakukan pembunuhan dan keganasan terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Kali pertama Israel mencabuli gencatan senjata tajaan ialah pada 25 Julai lalu tajaan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Israel memperhebatkan serangan ke atas Gaza setelah menuduh kumpulan sayap bersenjata Hamas, Briged Izzudin al-Qassam menculik seorang pegawai tenteranya, Lt. Hadar Goldin; dan kali kedua ialah pada 30 Julai lalu dengan mencabuli gencatan senjata sebelah pihak yang diumumkannya sendiri dengan melancarkan serangan ke atas sekolah tajaan PBB yang mengorbankan 19 orang penduduk Palestin.
Sebelum ini, Kabinet Israel membuat keputusan tidak akan menghantar wakil pada rundingan di Kaherah, Mesir pada Selasa lalu bagi membincangkan gencatan senjata yang lebih berkekalan di Gaza, sebelum memulakan rundingan lanjut berhubung perdamaian antara Israel-Palestin, membuktikan rejim Zionis Israel sebenarnya tidak ikhlas untuk berdamai.
Hamas yang menghantar wakil pada rundingan di Kaherah hanya meminta supaya sekatan ke atas Gaza ditarik balik, kawasan menangkap ikan di perairan Gaza diperluaskan dan penduduk Gaza dibenarkan bebas bergerak termasuk membuka sempadan di Rafah, Mesir untuk membolehkan penduduk Palestin meneruskan kehidupan.
Faktor utama Israel bersetuju menguatkuasakan gencatan senjata kali ini ialah kerana Israel tidak menang dalam perang ini setelah gagal menewaskan Briged al-Qassam, jauh sekali memusnahkan Hamas, maka ia tidak mempunyai alasan untuk berundur dari Gaza kerana Israel tidak mempunyai sebab untuk mengenakan sebarang syarat ke atas Hamas setelah melancarkan perang sebelah pihak ke atas Gaza.
Faktor kedua ialah kerana Israel sudah merasakan kesan daripada kempen boikot yang dilancarkan oleh negara-negara Islam ke atas produk-produk keluaran Israel dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonominya.
Malahan kempen boikot barangan keluaran Israel itu turut disertai negara-negara bukan Islam dan Eropah.
Selain itu, pemulauan ke atas Israel bukan sahaja tertumpu kepada produk keluaran Israel tetapi juga diperluaskan terhadap perkhidmatan, universiti, bank milik Israel.
Penduduk dunia perlu meneruskan kempen boikot sekurang-kurangnya selama setahun untuk melihat impaknya, terutama kepada ekonomi Israel, bagi memberi pengajaran kepada rejim Zionis itu supaya jangan memperkecilkan boikot yang dilancarkan.
Menurut Menteri Kewangan Israel, Yair Lapid, rejim Zionis itu kini mengalami kerugian AS$950 juta (RM3.03 bilion) dalam sektor ekonomi Isarel sejak operasi ketenteraan ke atas Gaza dilancarkan.
Israel turut merasa tertekan de­ngan protes, demonstrasi, tunjuk perasaan dan bantahan yang diadakan oleh penduduk di seluruh dunia tanpa mengira agama, kaum dan negara yang mengutuk kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza.
Oleh kerana tekanan hebat daripada seluruh dunia, Israel terus melakukan helahnya dengan bersetuju melaksanakan gencatan senjata dan untuk berunding, kali ini dengan mengenakan syarat supaya Hamas meletakkan senjata jika mahu meneruskan rundingan dengan Israel.
Syarat itu bukan sahaja tidak berasas kerana penduduk Palestin di Gaza tidak mempunyai sebarang pasukan tentera dan selama ini tidak diberi hak memiliki senjata untuk melindungi keselamatan mereka.
Syarat baharu yang melampau itu adalah seumpama bersetuju membiarkan penduduk Gaza ditembak dan dibom oleh Israel jika tentera Zionis itu melancarkan serangan semula pada masa depan dengan memberi pelbagai alasan yang bukan-bukan semata-mata untuk mengesahkan tindakan kekejamannya ke atas Gaza.
Ia juga seumpama satu persetujuan 'membunuh diri' jika Hamas bersetuju dengan syarat baharu Israel itu.
Semoga Allah melindungi penduduk Palestin daripada tipu helah Israel.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140807/lu_10/Israel-tampil-dengan-tipu-helah-baharu#ixzz39eY9y3lg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment