|
BANDAR GAZA - Kehidupan di Genting Gaza kembali tenang selepas gencatan senjata bertahan untuk hari kedua semalam manakala para perunding giat berbincang untuk melanjutkan proses gencatan senjata melibatkan Israel dan Palestin.
Kedai, bank dan pasar kembali dibuka di sekitar bandar ini manakala penduduknya berkeyakinan bahawa gencatan senjata selama 72 jam yang bermula kelmarin itu akan terus bertahan.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa selepas pertempuran di Gaza meragut 1,875 nyawa penduduk Palestin dan menyebabkan kematian 67 warga rejim Zionis.
"Banyak kedai kecil dibuka semula untuk kali pertama sejak beberapa hari lalu manakala berpuluh-puluh nelayan turut kembali ke laut," kata seorang koresponden agensi berita AFP.
Orang ramai mula membaiki kediaman yang rosak ketika petugas-petugas kecemasan membersihkan timbunan serpihan serta mencari mayat di lokasi yang paling teruk terjejas termasuk di penempatan Tuffah, Beit Hanun dan Shejaiya.
Hampir 500,000 daripada 1.8 juta penduduk di Gaza terpaksa menjadi pelarian akibat pengeboman tentera Israel dengan ramai antara mereka masih berlindung di beberapa buah sekolah selepas kediaman masing-masing ranap dalam serangan rejim Zionis.
Sebelum ini dua gencatan senjata gagal dilaksanakan di Gaza iaitu pada hari Jumaat dan Isnin lalu.
Timbalan Menteri Ekonomi Palestin, Taysir Amro berkata, anggaran kerosakan akibat perang selama 29 hari itu mencecah AS$6 bilion (RM19.2 bilion).
Dalam pada itu di ibu kota Mesir, Kaherah, usaha untuk memuktamadkan perdamaian disegerakan semalam selepas barisan perunding menemui delegasi Israel dan cuba mengemukakan tuntutan Yahudi kepada pihak Palestin.
Beberapa pegawai Mesir yang menganggotai barisan perunding itu berkata, mereka berdepan tugas sukar untuk memuktamadkan satu gencatan senjata yang berkekalan.
Perunding Palestin memberitahu, mereka akan menjawab segala tuntutan Israel itu yang antara lain meminta pelucutan senjata Hamas menerusi para pegawai perisikan Mesir.
Beberapa pemimpin tertinggi Hamas bagaimanapun membayangkan bahawa tuntutan rejim Zionis itu tidak akan dilayan.
"Delegasi kami ke Kaherah mewakili rakyat yang bersatu dan tidak akan akur terhadap sebarang tuntutan," kata bekas Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh.
Konflik terbaharu di Genting Gaza itu bermula pada 8 Julai lalu apabila tentera Israel melancarkan serangan udara bagi menghentikan bedilan roket Hamas yang disasarkan ke dalam wilayahnya.
Seramai 9,567 orang turut cedera akibat bedilan tentera Israel setakat ini termasuk 2,878 kanak-kanak. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz39eyuxvVo
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment