• Ab Rahman dan adik beradiknya mengutuk sekerasnya kekejaman Israel terhadap Palestin.Ab Rahman dan adik beradiknya mengutuk sekerasnya kekejaman Israel terhadap Palestin.

SEREMBAN – Sebagai tanda prihatin dan rasa tanggungjawab membantu masyarakat Islam di Gaza, Palestin seorang kakitangan kerajaan mengambil inisiatif menjadikan majlis jamuan hari raya di rumahnya di Kampung Mayor, Pantai di sini sebagai tempat mengumpul derma.
Malah bagi menyampaikan mesej lebih jelas kepada tetamu yang hadir, semua ahli keluarga Ab Rahman Harun, 50, turut memakai kemeja T membawa mesej Palestin serta meletakkan risalah makluman sumbangan tabung Gaza di setiap meja tetamu yang hadir.

Bapa kepada lima cahaya mata ini berkata, idea meletakkan tabung kutipan Gaza berkenaan timbul selepas anak sulungnya, Nurul Izdihar, 27, memberi cadangan ketika mereka sekeluarga dalam perbincangan mengadakan majlis jamuan hari raya.

“Saya nampak inilah peluang untuk kami sekeluarga memberi mesej kepada tetamu yang hadir agar kita sama-sama membantu masyarakat Islam di Gaza.

“Jadi anak saya pergi ke pejabat Aman Palestin di sini menyuarakan hasrat kami dan pihak terbabit bersetuju memberi lima buah tabung serta risalah yang boleh diedarkan kepada tetamu yang hadir,” katanya.

Menurutnya, dia tidak bermaksud menjadikan majlis berkenaan sebagai medan mengutip derma, tetapi sebagai memberi galakan dan kesedaran kepada orang ramai tentang tanggungjawab setiap orang untuk menghulurkan bantuan.

Kata Ab Rahman, setidak-tidaknya inilah usaha yang dia dan keluarga dapat lakukan bagi membebaskan masyarakat Islam di bumi Gaza.

“Kita tidak memaksa orang untuk menderma, tapi setidak-tidaknya dengan meletakkan tabung berkenaan berkemungkinan ada yang terdetik untuk menghulurkan sumbangan.

“Biarpun dalam jumlah yang sedikit, namun inilah sumbangan kita untuk membantu membebaskan masyarakat Islam di sana,”  katanya.