Tuesday 19 August 2014

AS bantu tawan semula Empangan Mosul


Seorang anggota kumpulan Kurdis, meronda di sekitar Empangan Mosul di bandar Chamibarakat, Iraq, kelmarin. - AGENSI
BAGHDAD 18 Ogos - Kumpulan bersenjata Kurdis yang dibantu pesawat gempur Amerika Syarikat (AS), menawan semula empangan terbesar di Iraq daripada kumpulan militan ketika Washington dan Britain kembali meningkatkan penglibatan ketenteraan di negara ini.
Ahli politik Kurdis, Ali Awni berkata, Empangan Mosul telah dirampas sepenuhnya daripada cengkaman militan Negara Islam (IS) yang melancarkan serangan besar-besaran di utara Iraq sejak Jun lalu sehingga menyebabkan pasukan keselamatan negara ini mengalami kekalahan teruk.
Kejayaan tersebut dicapai selepas pesawat tentera AS dan drone menggempur kedudukan militan yang menentang kemaraan kumpulan bersenjata Kurdis sejak kelmarin.
Pusat Perintah AS (CENTCOM) melaporkan, sebanyak 14 serangan udara dilancarkan semalam berdekatan empangan itu yang terletak di Sungai Tigris, kemudahan yang menyalurkan bekalan elektrik dan saluran air untuk kawasan tanaman di wilayah tersebut.
Jelas CENTCOM, serangan itu memusnahkan 10 kenderaan IS, tujuh kereta perisai Humvee buatan AS, dua kenderaan pengangkut yang dilengkapi senjata dan satu pusat pemeriksaan IS.
Presiden AS, Barack Obama memberitahu Kongres bahawa serangan 'terhad' yang beliau luluskan itu bertujuan menawan semula empangan tersebut daripada penguasaan militan dan kepentingan-kepentingan AS yang lain di situ.
"Kegagalan menguasai semula Empangan Mosul boleh mengancam banyak nyawa penduduk awam, kemudahan dan kakitangan AS termasuk Kedutaan AS di Baghdad, selain menghalang kerajaan Iraq menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, akhbar The Times melaporkan, Britain menggunakan enam pesawat gempur Tornado dan sebuah pesawat pengintip untuk mengumpul maklumat pergerakan militan di wilayah Kurdis, sekali gus menunjukkan London mahu terlibat secara langsung dalam pertempuran di Iraq. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140819/lu_07/AS-bantu-tawan-semula-Empangan-Mosul#ixzz3AmoM429R
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment