Tuesday 19 August 2014

Delegasi Palestin beza pandangan


Sebahagian kapal nelayan, berlabuh di pelabuhan Gaza City yang kembali beroperasi seperti biasa sejak gencatan senjata dikuatkuasakan minggu lalu. - AFP
KAHERAH 18 Ogos - Pergerakan Hamas dan delegasi Palestin yang mewakili Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang menyertai rundingan dengan Israel mempunyai pandangan berbeza berhubung rundingan damai yang sedang diadakan di sini, ketika gencatan senjata selama lima hari berakhir hari ini.
Pegawai Palestin berkata, Hamas masih menentang sebarang kompromi dalam rundingan damai tajaan Mesir berhubung mengurangkan sekatan ke atas Gaza, manakala delegasi yang mewakili Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pula dilihat bersetuju untuk berkompromi.
Pegawai Hamas berkata, mereka masih berharap mendapat lebih banyak konsesi dalam rundingan damai tersebut.
Rundingan damai itu diadakan bagi menamatkan serangan Israel ke atas Gaza yang menyaksikan lebih 2,000 penduduk Palestin terkorban dan lebih 10,000 orang lagi cedera sejak 8 Julai lalu.
Perbincangan yang menyaksikan Palestin dan Israel menggunakan wakil Mesir sebagai pengantara berlangsung sejak minggu lepas.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin hari ini mengeluarkan angka rasmi kematian konflik terbaharu di Gaza dengan jumlah korban sebanyak 2,016 orang, sementara 10,196 orang lagi cedera.
"Jumlah tersebut meningkat daripada 1,980 orang, selepas sejumlah mereka yang cedera meninggal dunia di beberapa hospital di Gaza.
"Jumlah yang paling ramai terbunuh ialah kanak-kanak sebanyak 541 orang, 250 wanita dan 95 lelaki tua," kata kementerian itu dalam satu kenyataan. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140819/lu_05/Delegasi-Palestin-beza-pandangan#ixzz3Amnhg03a
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment