Tuesday 19 August 2014

Harapan cerah kebebasan Palestin


19 Ogos 2014
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) percaya rakyat Palestin mempunyai harapan cerah untuk mencapai kemerdekaan dan kebebasan pada masa depan.
   
Pengerusinya, Muslim Imran berkata kemungkinan rakyat Palestin bebas dan mencapai kemerdekaan adalah berdasarkan peningkatan tentangan di Gaza dan usaha pantas dan berterusan oleh pergerakan perpaduan antarabangsa untuk membantu penduduk Gaza.
   
"Harapan saya ini adalah berasaskan pemerhatian, bukan ideologi atau harapan secara membabi buta terhadap tempoh pendudukan Israel, berikutan senario yang sama berlaku di Afrika Selatan apabila kaum kulit hitam menderita selama lebih 80 tahun di bawah rejim kulit putih tetapi mereka menentang dan kemudian mencapai kebebasan.
   
"Susulan sokongan yang berterusan daripada masyarakat antarabangsa, ia meruntuhkan sistem apartheid yang membelenggu kaum kulit hitam pada masa itu," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.
   
Berdasarkan sejarah Afrika Selatan, perkara yang sama akan berulang bagi Gaza kerana sejarah menunjukkan bahawa tiada penjajahan yang berjaya, katanya.
 
Bagaimanapun, kemerdekaan dan kebebasan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk menjadi kenyataan kerana musuh (Israel) masih kuat dan bantuan masih diberikan kepada mereka oleh kuasa-kuasa asing, kata Muslim.
   
Beliau juga percaya bahawa Palestin boleh menjadi negara yang berjaya dan mengatasi negara lain berdasarkan hakikat bahawa 99 peratus daripada rakyatnya celik huruf dan ini memberi kemungkinan yang tinggi bagi rakyatnya mencapai kecemerlangan.
   
"Kami mempunyai budaya dan masyarakat yang cukup maju sebelum pendudukan Israel dan dalam kalangan masyarakat Palestin, kami antara yang mempunyai pemegang ijazah  doktor falsafah tertinggi pada tahun 1920-an," katanya.
   
Sementara itu, Muslim berkata rakyat Malaysia telah memberi sumbangan besar di kedua-dua peringkat iaitu kerajaan dan juga rakyatnya dalam memainkan peranan penting membantu penduduk Gaza ketika menghadapi masa sukar.
   
"Pihak berkuasa Malaysia ialah antara yang pertama mengutuk pencerobohan Israel sebelum mana-mana negara termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment