Saturday, 31 October 2015

Lagi serangan pisau di Hebron


AFP - BEBERAPA askar Israel melihat mayat seorang warga Palestin yang ditembak mati selepas menikam seorang askar Yahudi di bandar Hebron semalam.


HEBRON – Dua serangan baharu menggunakan pisau di Tebing Barat menyebabkan seorang askar Israel cedera ringan semalam, manakala dua penyerang warga Palestin ditembak mati pasukan keselamatan, kata polis dan askar Israel.
Dalam satu kejadian, seorang warga Palestin menikam dan mencederakan seorang pengawal sempadan Israel dekat sebuah makam yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Gua Para Leluhur di bandar Hebron, Tebing Barat.
“Seorang warga Palestin me­nyerang dan menikam seorang askar. Pasukan keselamatan bertindak balas dengan menembak penyerang itu. Anggota tentera itu ha­nya cedera ringan,” kata askar Israel dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld mengesahkan penyerang yang berusia 24 tahun tersebut telah meninggal dunia.
Dalam kejadian kedua pula, seorang warga Palestin cuba menikam seorang askar Israel di sebuah lokasi lain di Hebron. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3q5mZUSZv 
Hakcipta terpelihara 

Kumpulan berhaluan kanan gesa Israel tawan Masjid al-Aqsa


Beberapa orang penduduk Yahudi ortodoks dikawal oleh polis Israel ketika melawat kompleks al-Aqsa, Baitulmaqdis, baru-baru ini. AFP
BAITULMAQDIS 30 Okt. – Pemimpin politik dan organisasi berhaluan kanan Israel menggesa rejim Zionis supaya segera menawan Masjid al-Aqsa, ekoran tindakan rejim berkenaan menahan penduduk Yahudi Israel yang melakukan upacara keagamaan di masjid tersebut.
Laman web Al Jazeera melaporkan, ketua organisasi Returning to the Mount, Raphael Morris yang tidak berpuas hati dengan penahanan itu berkata, rejim Zionis mengenakan sekatan yang disifatkan sebagai ‘kejam’ terhadap penduduk Yahudi Israel.
“Kami belum bersedia untuk membiarkan keadaan menjadi lebih buruk. Kita (kerajaan Israel) perlu bertindak bukan sahaja untuk menamatkan permasalahan yang berlaku, tetapi perlu menegakkan hak penduduk Yahudi untuk memasuki Al-Quds,” jelas Morris.
Kumpulan tersebut turut mengumumkan akan membayar wang ikat jamin berjumlah AS$516 (RM2,214) terhadap penduduk Yahudi Israel yang ditahan ketika melakukan upacara keagamaan di Masjid Al-Aqsa.
Returning to the Mount dalam laman Facebooknya turut menggesa Israel memusnahkan Masjid Al-Aqsa dan menggantikannya dengan sebuah kuil untuk penganut Yahudi.
Gesaan tersebut dibuat ketika penduduk Palestin berterusan melancarkan tunjuk perasaan menentang peluasan pendudukan Israel, selain berang dengan beberapa polisi ‘keras’ rejim Zionis terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
Penunjuk perasaan Palestin turut menerima layanan buruk apabila tentera rejim Zionis bertindak melepaskan tembakan peluru hidup dan peluru getah serta melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan.
Sejak 1 Oktober lalu, pasukan keselamatan Israel dan penduduk di penempatan haram Yahudi telah membunuh seramai 66 orang penduduk Palestin termasuk penunjuk perasaan yang tidak bersenjata dan anggota kumpulan pemerhati.
Menurut Kelab Tahanan Palestin, lebih 1,000 orang kanak-kanak turut ditahan sepanjang bulan ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kumpulan-berhaluan-kanan-gesa-israel-tawan-masjid-al-aqsa-1.152526#sthash.QiRp9Rgs.dpuf

Friday, 30 October 2015

62 mangsa Israel

 Reuters
Baitulmaqdis: Polis Israel menembak mati dua lagi penduduk Palestin yang didakwa menyerang mereka dengan pisau di Tebing Barat semalam.

Polis Israel menembak mati seorang penduduk Palestin di Hebron, kononnya selepas dia menikam dan mencederakan seorang polis rejim Zionis.


Beberapa jam kemudian, di satu kawasan berhampiran, polis Israel menembak mati seorang lagi penduduk Palestin yang juga didakwa cuba menikam seorang askar Yahudi.

Keganasan yang berlarutan hampir satu bulan itu adalah yang terburuk sejak perang di Gaza pada 2014.



Konflik terbaru itu tercetus ekoran kemarahan penduduk Palestin selepas Israel membenarkan kumpulan Yahudi memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Al-Aqsa ialah masjid ketiga paling suci umat Islam dan Palestin menuduh Israel cuba menguasai masjid berkenaan.

Sejak konflik tercetus 1 Oktober lalu, sekurangnya 62 penduduk Palestin maut ditembak pihak berkuasa Israel di Tebing Barat dan Gaza.

Daripada jumlah itu, 35 daripada mereka ditembak mati, kononnya selepas menyerang polis dan askar Israel dengan pisau dan beberapa kes menggunakan senjata api.

Sebilangan lagi ditembak mati ketika menunjuk perasaan membantah kekejaman rejim Zionis.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam konflik ini adalah remaja.

Pusat Hak Asasi Manusia dan Bantuan Guaman Baitulmaqdis memberitahu, daripada maklumat yang diterima, pihak berkuasa Israel masih belum menyerahkan 29 mayat penduduk Palestin yang mereka tembak mati.

Gabenor Hebron, Kamel Hmeid berkata, tindakan Israel tidak menyerahkan mayat itu menyemarakkan lagi kemarahan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 6:38 AM

ASKAR Israel memeriksa mayat seorang lelaki Palestin yang ditembak mati selepas didakwa menyerang seorang polis Zionis berhampiran Masjid Ibrahim di Hebron, Tebing Barat, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89314#sthash.FYNSueR3.dpuf

Lagi serangan pisau di Hebron


AFP - BEBERAPA askar Israel melihat mayat seorang warga Palestin yang ditembak mati selepas menikam seorang askar Yahudi di bandar Hebron semalam.


HEBRON – Dua serangan baharu menggunakan pisau di Tebing Barat menyebabkan seorang askar Israel cedera ringan semalam, manakala dua penyerang warga Palestin ditembak mati pasukan keselamatan, kata polis dan askar Israel.
Dalam satu kejadian, seorang warga Palestin menikam dan mencederakan seorang pengawal sempadan Israel dekat sebuah makam yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Gua Para Leluhur di bandar Hebron, Tebing Barat.
“Seorang warga Palestin me­nyerang dan menikam seorang askar. Pasukan keselamatan bertindak balas dengan menembak penyerang itu. Anggota tentera itu ha­nya cedera ringan,” kata askar Israel dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld mengesahkan penyerang yang berusia 24 tahun tersebut telah meninggal dunia.
Dalam kejadian kedua pula, seorang warga Palestin cuba menikam seorang askar Israel di sebuah lokasi lain di Hebron. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3pztwZmD1 
Hakcipta terpelihara 

Minta perlindungan 
antarabangsa – Abbas


30 Oktober 2015 12:55 AM





GENEVA 29 Okt. – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas meminta `perlindungan antarabangsa’ ke atas penduduk Palestin, ketika jumlah korban akibat keganasan Israel di wilayah yang dikuasai rejim Zionis itu terus meningkat.
Semasa berucap pada mesyuarat khas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini semalam, Abbas meminta satu pasukan khas dibentuk bagi mendapatkan perlindungan antarabangsa untuk penduduk Palestin dengan serta merta dan segera.
Katanya, situasi kemanusiaan di wilayah Israel dan Palestin adalah yang terburuk dan paling kritikal sejak 1948 merujuk kepada kewujudan Israel.
“Adalah tidak berguna lagi untuk membuang masa berunding demi kepentingan rundingan. Apa yang diperlukan adalah untuk menamatkan penjajahan selaras dengan undang-undang antarabangsa,’’ kata Abbas, sebagaimana dilaporkan portal al-Jazeera.
Abbas pada masa sama menuduh Israel melakukan `pembunuhan di luar bidang kehakiman’ dan meminta tindakan itu dihentikan segera.
“Lindungi kami, lindungi kami. Kami perlukan anda,’’ rayu Abbas lagi merujuk kepada perbuatan ganas Israel menggunakan peluru hidup, peluru logam bersalut getah, gas pemedih mata dan bom tangan pegun ke atas penduduk Palestin.
Sejak 1 Oktober lalu, sebanyak 64 penduduk Palestin dibunuh tentera Israel kerana didakwa melakukan serangan di seluruh Israel dan kawasan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dan Gaza, manakala sembilan penduduk Israel maut akibat dibunuh penduduk Palestin sama ada ditikam ataupun ditembak.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Israel menembak mati seorang lagi penduduk Palestin yang cuba menikam anggota keselamatan Israel dalam kejadian di Tebing Barat, semalam, manakala seorang wanita Israel cedera ditikam dalam kejadian berhampiran penempatan haram Yahudi.
Sementara itu, Amnesty International dalam kenyataannya kelmarin mendapati beberapa kejadian pembunuhan pendudukan Palestin oleh Israel adalah tidak berasas sama sekali dengan tentera rejim Zionis itu menggunakan `kaedah yang tidak sah dan terlalu ekstrim’.
Israel mempertahankan tindakannya itu dengan mendakwa penggunaan senjata diwajarkan ke atas sebarang serangan yang membawa maut. – AGENSI/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/minta-perlindungan-8232-antarabangsa-8211-abbas-1.152191#sthash.9sqflmxO.dpuf

Thursday, 29 October 2015

Universiti Israel diboikot


Universiti Israel diboikot

29 OKTOBER 2015
Pasukan keselamatan Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan bagi menyuraikan protes. Gambar kecil: Iklan boikot lebih 300 ahli akademik.

LONDON - Lebih 300 ahli akademik Britain berkata mereka akan memboikot hubungan dengan universiti Israel berikutan perlanggaran hak asasi manusia yang tidak boleh diterima terhadap rakyat Palestin.

Pengumuman bertajuk A Commitment by UK scholars to the Rights of Palestinians  itu disiarkan sebagai iklan halaman penuh dalam akhbar The Guardian.

"Kami amat terganggu dengan penempatan haram Israel di bumi Palestin, di mana ia jelas melanggar hak asasi manusia. Kami tidak akan menerima jemputan untuk melawat institusi akademik Israel atau mengambil bahagian dalam persidangan yang dibiayai dan dianjurkan mereka.

"Keputusan ini akan dikekalkan sehingga negara rejim Zionis mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati prinsip hak asasi manusia sejagat," menurut iklan itu.

Menurut Arab News, senarai awal sokongan berkenaan ditandatangani ahli akademik dari 72 institusi berbeza termasuk profesor, pensyarah, felo masyarakat diraja dan felo Akademi Britain.

Sementara itu, salah seorang penandatangan, Profesor Conor Gearty dari London School of Economics berkata, kempen boikot ini adalah cara untuk menunjukkan bahawa kesaksamaan dan keadilan serta undang-undang antarabangsa perlu dihormati.

343 ahli akademik UK pulau Israel

Agensi
London: Ratusan ahli akademik Britain semalam berkata, mereka akan memulaukan universiti di Israel kerana membantah kekejaman rejim Zionis terhadap kemanusiaan di Palestin.

Pengumumkan itu dibuat menerusi iklan satu muka penuh di akhbar The Guardian berjudul ‘Komitmen oleh cendekiawan UK terhadap hak rakyat Palestin.


Ahli akademik seramai 343 orang dari 72 institusi berkenaan, termasuk Oxford, Cambridge dan Sekolah Ekonomi London berkata, mereka bagaimanapun akan teruskan kerjasama dengan rakan sejawatan di Israel, tetapi berdasarkan individu.

“Kami terganggu dengan pendudukan haram Israel di bumi Palestin dan pencabulan teruk terhadap hak asasi manusia ke atas semua warga Palestin,” menurut iklan berkenaan.

Mereka juga memutuskan untuk tidak melayani semua pelawaan melawat institusi akademi Israel, menyertai persidangan yang dibiayai, dianjur atau ditaja oleh institusi terbabit.

“Ini bermakna kita tidak akan mengadakan kerjasama dengan mereka. Kami akan mengekalkan pendirian ini sehingga rejim Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati prinsip hak asasi universal,” kata ahli akademik itu menerusi iklan berkenaan.

Jurucakap kumpulan itu Jonathan Rosenhead dari Sekolah Ekonomi London berkata, universiti di Israel menjadi pusat pencabulan undang-undang antarabangsa dan penindasan rakyat Palestin.

Kumpulan itu berkata, Institut Teknologi Israel atau Technion mencipta teknologi khas mengesan terowong di Semenanjung Gaza dan jentolak tanpa pemandu untuk merobohkan kediaman penduduk Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:28 AM

PENUNJUK perasaan membawa bendera Palestin ketika melakukan demonstrasi anti-Israel berhampiran sempadan Israel dengan selatan Semenanjung Gaza, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88995#sthash.6RSJvoir.dpuf

Israel penjara ulama Palestin


SHEIKH RAED


BAITULMUQADDIS – Sebuah mahkamah Israel me­ngarahkan supaya seorang ulama Palestin dipenjarakan kelmarin selepas pengikutnya dituduh menghasut keganasan di pekarangan Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmuqaddis.
Keganasan baharu tercetus petang kelmarin apabila tiga warga Palestin menyerang beberapa askar Israel sebelum mereka ditembak mati dalam dua kejadian berasi­ngan di selatan Tebing Barat.
Sheikh Raed Salah yang memimpin Pergerakan Islam di Israel, didapati bersalah kerana menghasut keganasan di tempat suci itu dalam satu ceramah pada 2007.
Dia juga berada dalam pemerhatian Rejim Zionis kerana mengapi-apikan ketegangan di pekarangan Al-Aqsa sehingga membawa kepada serangan menggunakan pisau, tembakan dan bantahan ganas terhadap penduduk Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berjanji pada minggu lalu untuk mengharamkan Pergerakan Islam kerana melakukan hasutan yang membawa kepada gelombang penentangan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza.
Pada 2007, Raed menggesa umat Islam dan warga Arab supaya bangkit menentang kezaliman Rejim Zionis dan melindungi kesucian masjid Al-Aqsa dalam gelombang kebangkitan yang dikenali sebagai intifada. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3pu5ZjdKy 
Hakcipta terpelihara 

Israel penjarakan pemimpin Islam


Raed Salah ketika meninggalkan mahkamah daerah di Baitulmaqdis,

Raed Salah ketika meninggalkan mahkamah daerah di Baitulmaqdis, kelmarin. REUTERS
BAITULMAQDIS 28 Okt. – Mahkamah Israel hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap seorang pemimpin pergerakan Islam berhubung dakwaan menyebarkan hasutan sehingga mencetuskan keganasan di pekarangan Masjid al-Aqsa.
Raed Salah, merupakan ketua Pergerakan Islam di Israel, sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap dakwaan menyebarkan hasutan menerusi satu ucapan pada 2007 dengan menggesa seluruh umat Islam dan bangsa Arab untuk memulakan intifada atau kebangkitan bagi mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.
Menurut kenyataan mahkamah, Raed akan menjalani hukuman penjara selama 11 bulan bermula pada 15 November ini.
Selain itu, beliau diletakkan di bawah pemantauan pihak berkuasa rejim Zionis kerana dipercayai memarakkan lagi ketegangan di Baitulmaqdis sehingga menyaksikan siri serangan pisau, tembakan dan bantahan diadakan terhadap Israel.
Masjid al-Aqsa merupakan kawasan milik Palestin yang dijajah oleh Israel dari Jordan semasa Perang Enam Hari 1967 dan menjadi pusat pergolakan antara Palestin-Israel sejak berpuluh-puluh tahun.
Dalam perkembangan berasingan, angka kematian dalam kalangan rakyat Palestin akibat kekejaman Israel meningkat kepada 59 orang sejak konflik tercetus pada awal bulan ini.
Situasi tersebut mengundang kecaman daripada pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International yang mendakwa rejim Zionis melakukan siri pembunuhan dengan sengaja tanpa justifikasi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
“Sebanyak empat kes menunjukkan rakyat Palestin ditembak mati dengan sengaja oleh tentera Israel sedangkan semua mangsa tidak mendatangkan bahaya kepada mana-mana pihak,” jelas pertubuhan berkenaan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-penjarakan-pemimpin-islam-1.151839#sthash.m0D3BiQy.dpuf

Wednesday, 28 October 2015

PM Israel mahu batal hak penduduk Palestin


Benjamin Netanyahu

28 OKTOBER 2015
Benjamin Netanyahu
TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkemungkinan akan membatalkan hak tertentu penduduk Palestin yang tinggal di Baitulmqdis Timur.

Kelmarin, sumber kerajaan mendedahkan pembatalan itu termasuk status penduduk dan hak perjalanan penduduk Palestin.  

Susulan daripada itu, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi bertindak mengecam langkah tersebut yang disifatkan sebagai rancangan jahat Israel untuk melakukan pembersihan etnik di wilayah itu.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Israel dilaporkan menghalang pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan Masjid al-Aqsa.

Sebuah badan amal di Jordan mendakwa tentera rejim Zionis sewenang-wenangnya mengarahkan kerja pemasangan CCTV  tersebut dihentikan walaupun ia adalah sebahagian daripada perjanjian antara Tel Aviv dan Amman yang bertujuan untuk meredakan ketegangan di Baitulmaqdis Timur. - Press TV

Lebih banyak keganasan di Baitulmuqaddis


SEORANG penunjuk perasaan Palestin melompat di atas beberapa tayar yang dibakar semasa pertempuran dengan tentera Israel dekat bandar Ramallah, Tebing Barat kelmarin.


BAITULMUQADDIS – Keganasan terbaharu anti-Israel menyaksikan tiga warga Palestin ditembak mati di Tebing Barat semalam, manakala usaha mengurangkan ketegangan di Masjid Al-Aqsa dengan memasang kamera keselamatan berdepan masalah.
Konflik keganasan tidak menunjukkan sebarang perubahan untuk berakhir apabila warga Palestin yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja dari Hebron, menyerang tentera Zionis menggunakan pisau di Tebing Barat.
Pembunuhan dan keganasan lain berlaku pada setiap hari sejak ketegangan berhubung isu Masjid Al-Aqsa memuncak awal bulan ini yang menyebabkan ramai penduduk awam Palestin terkorban.
Malam kelmarin, tentera Zionis memberitahu mereka melakukan serangan udara ke atas dua sasaran Hamas di Genting Gaza selepas sebuah roket dilancarkan dari seberang sempadan sebelum jatuh ke kawasan terbuka.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Dalam insiden lain, seorang askar Israel ditikam di bahagian leher manakala penyerang yang menikamnya ditembak mati.
Dalam kejadian berbeza, seorang remaja Palestin berusia 17 tahun ditembak mati dalam satu pertempuran di Hebron.
Sehingga kelmarin, jumlah warga Palestin yang terbunuh adalah sebanyak 56 orang.
Selepas Israel bersetuju memasang kamera pengawasan di kawasan masjid berkenaan Sabtu lepas namun langkah itu mula berdepan masalah.
Seorang pemegang amanah dari Jordan yang menguruskan pentadbiran di pekarangan Masjid al-Aqsa Waqf, mengadu mereka dihalang oleh polis Israel selepas kerja pemasangan itu dilakukan kelmarin.
“Kami menganggap tindakan Israel memasang kamera tersebut hanyalah untuk kepentingannya sendiri,” ujar Waqf. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3poAN6SgR 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, 27 October 2015

Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

BAITULMAQDIS: Israel melancarkan serangan udara ke atas dua sasaran Hamas di Semenanjung Gaza selepas sebuah roket ditembak ke wilayah yang ditaklukinya malam tadi.
"Sebagai tindak balas terhadap tembakan roket itu, IAF (Tentera Udara Israel) menyasarkan dua kedudukan Hamas di Gaza," menurut pihak tentera Israel menerusi Twitter.
Menurutnya, roket berkenaan jatuh di kawasan terbuka di wilayah selatan Shaar HaNegev yang bersempadan dengan Gaza tanpa menyebabkan sebarang kecederaan. - AFP

Cadangan pantau al-Aqsa adalah perangkap


Cadangan pantau al-Aqsa adalah perangkap

27 OKTOBER 2015
Cadangan pantau al-Aqsa adalah perangkap Kanak-kanak Libya dan Palestin berkumpul di luar masjid Baitulmaqdis di Tripoli semasa demonstrasi perpaduan Masjid al-Aqsa. Foto: AFP

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Menteri Luar Palestin menyifatkan rancangan perjanjian Israel dan Jordan untuk memasang kamera keselamatan di perkarangan Masjid al-Aqsa adalah sebagai perangkap baharu.

Menurut Riyad al-Maliki, Israel merancang menggunakan rakaman itu untuk menangkap jemaah Islam yang didakwa menghasut bagi menentang rejim Zionis.

Sabtu lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry memberitahu bahawa Israel menyambut baik cadangan Raja Jordan, Raja Abdullah, untuk memantau Al-Aqsa 24 jam sehari selepas bertemunya bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin, Saeb Erekat turut memberitahu Kerry supaya melihat masalah daripada akarnya dan ia adalah penjajahan berterusan Zionis di wilayah Palestin.

Sejak 1 Oktober lalu, serangan bersenjata, tembakan dan protes berlaku hampir setiap hari dalam keganasan yang dicetuskan akibat pencerobohan Israel di al-Aqsa.

Susulan perjanjian berkenaan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, langkah baharu itu diambil bagi meredakan kebimbangan rakyat Palestin bahawa Israel merancang untuk mengubah peraturan yang telah lama ditadbir di kawasan itu. - Al Jazeera

Remaja Palestin ditembak mati


Anggota keselamatan Israel menutup jenazah seorang gadis Palestin yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan rejim Zionis itu kerana didakwa cuba menikam anggota polis Israel di Hebron, Tebing Barat, semalam. REUTERS
BAITULMAQDIS 26 Okt. - Seorang remaja perempuan Palestin menjadi mangsa keganasan terbaharu Israel apabila mangsa ditembak mati di Tebing Barat, ketika rejim Zionis terus mencetuskan provokasi apabila mengumumkan pelan pemasangan lebih banyak kamera keselamatan di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.
Remaja berusia 17 tahun itu ditembak mati selepas dia didakwa cuba menikam anggota polis sempadan Israel di bandar Hebron, tetapi saksi kejadian berkata, mangsa tidak membawa sebarang senjata.
Kematian remaja tersebut menjadikan angka korban penduduk Palestin sejak konflik antara Palestin-Israel tercetus awal bulan ini, meningkat kepada 53 orang.
Dalam kejadian berasingan, seorang penduduk Palestin cedera parah zaitun akibat ditembak seorang pendatang haram Yahudi ketika dia sedang mengutip buah zaitun.
Dua penduduk Israel turut dilaporkan cedera dalam kejadian tikaman yang berlaku di lokasi berasingan di Tebing Barat.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersetuju dengan pelan pemasangan lebih banyak kamera keselamatan di Masjid Al-Aqsa dengan alasan mahu meredakan ketegangan di kawasan terbabit.
Netanyahu berkata, langkah pemasangan kamera keselamatan 24 jam itu perlu diteruskan bagi mencari dalang yang mencetuskan provokasi dan menjaga kepentingan Israel.
“Pertama, pemasangan kamera dilakukan bagi menyangkal dakwaan Israel mencabuli perjanjian status quo (Masjid al-Aqsa).
“Kedua, pemasangan kamera dapat menunjukkan siapa pihak yang bertanggungjawab mencetuskan provokasi dan menghalang kejadian itu berlaku,” katanya.
Menurut Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon, kamera keselamatan yang dipasang sebelum ini berada di luar kawasan perkarangan Masjid al-Aqsa dan peralatan tersebut akan dipasang di dalam kawasan masjid. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-palestin-ditembak-mati-1.151013#sthash.NismDoMA.dpuf

Monday, 26 October 2015

Palestin tolak rancangan Israel pasang kamera di Al-Aqsa

Kamera keselamatan rancangan Israel dipasang di Al Aqsa mendapat bantahan pemimpin Palestin.
ISNIN, 26 OKTOBER 2015 @ 12:46 AM
BAITULMAQDIS: Pemimpin Palestin menolak rancangan memasang kamera keselamatan di Masjid Al-Aqsa walaupun perkara itu sudah dipersetujui Amerika Syarikat (AS), Israel dan Jordan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berharap perjanjian itu mengekalkan status quo di pekarangan masjid dikenali Temple Mount dalam kalangan penganut Yahudi, di sini, dapat mengurangkan ketegangan yang mencetuskan keganasan memuncak sejak beberapa minggu lalu.
Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, memberitahu Voice of Palestine, rancangan itu adalah satu perangkap kerana Israel akan menggunakan rakaman video bagi menangkap penganut Islam.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, berkata video pengawasan 24 jam itu mungkin satu titik perubahan dalam mengekalkan kesucian Masjid Al-Aqsa, kawasan suci ketiga umat Islam, namun rakyat Palestin menempelak bahawa beliau jelas mengabaikan masalah asas yang berlaku di situ. - AGENSI

Haram doktor jejak bumi Israel helah tutup kezaliman



BERNAMA menemu bual secara eksklusif doktor dan aktivis dari Norway yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin, Dr Mads Gilbert, ketika lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.
Beliau menceritakan pengalamannya sebagai doktor bedah sukarela di Hospital As-Shifa di Gaza, ketika serangan Israel paling dahsyat ke atas Gaza, serta membincangkan betapa berkesannya usaha gerakan perpaduan dalam mengembalikan hak rakyat Palestin.
Ternyata Dr Mads Gilbert, seorang aktivis yang digeruni Israel. Pada November 2014, beliau diharamkan Israel daripada menjejakkan kaki lagi di bumi Gaza. Pakar pembedahan trauma berusia 68 tahun itu tersenyum sinis ketika ditanya soal itu.
TUNJUK perasaan secara aman di beberapa bandar besar di Amerika bagi membantah serangan terhadap Palestin pada tahun 2009.
"Alasan mereka, saya seorang yang berbahaya. Kalaulah kerana stetoskop dan kamera pun dianggap berbahaya, jelaslah betapa Israel nekad menyembunyikan keadaan sebenar di Gaza," katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual eksklusif.
Jika dilihat latar belakang Dr Gilbert, memang tidak disangka beliau menjadi seorang pejuang hak rakyat Palestin. Beliau membesar di Norway ketika negara itu kuat di bawah pengaruh Zionis.
"Di sekolah, kami hanya diajar mengenai hak Israel, tanpa diberitahu yang negara itu diwujudkan atas rasa bersalah satu bangsa lain. Orang Eropah rasa terhutang budi kepada orang Yahudi kerana peristiwa Holocaust. Itu memang satu jenayah yang dahsyat, tetapi ia bukan dilakukan rakyat Palestin, jadi bukan mereka yang sepatutnya melangsaikan hutang itu," katanya.
Kali pertama beliau menyaksikan kekejaman ke atas rakyat Palestin adalah ketika menjadi doktor sukarela ketika pengeboman di Beirut, Lebanon, pada tahun 1981. Pengalaman itu menghantuinya, sehingga beliau kembali pada tahun berikutnya untuk memberi bantuan ketika pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatila.
DR Gilbert menunjukkan buku karyanya, Night in Gaza ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Kekejaman tentera Israel
"Itulah kali pertama saya dapat melihat dengan jelas implikasi kekejaman jentera perang Israel. Ia menjadikan saya betul-betul terkesan," katanya.
Sebagai seorang pakar anestesiologi dan pensyarah perubatan, beliau terbabit dengan pelbagai projek di serata dunia secara sukarela. Namun, sejak 15 tahun lalu, usahanya tertumpu ke Gaza. Beliau bertugas di Hospital As-Shifa ketika empat serangan kejam ke atas Gaza pada tahun 2006, 2009, 2012 dan 2014.
Serangan pada tahun 2014 dianggap paling dahsyat yang pernah dialaminya. Beribu-ribu tan bom dilepaskan ke atas bumi Gaza yang hanya bersaiz 365 kilometer persegi dalam masa 51 hari. Seramai 2,251 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 551 kanak-kanak. Menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 10,000 tercedera dan lebih 100,000 kehilangan tempat tinggal.
Segala kesengsaraan mereka dirakamkannya dalam buku kedua beliau, Night in Gaza. Isi kandungannya sukar dibaca tanpa terlerai air mata. Buku pertamanya Eyes in Gaza, yang ditulis bersama rakan senegara, Dr Erik Fosse, pula mengisahkan pengalaman mereka di As-Shifa ketika serangan pada tahun 2009.
Tahun itu, Israel menghalang media antarabangsa memasuki Gaza. Bagaimanapun, kedua-dua doktor itu berjaya memasuki Gaza dengan bantuan $1 juta dari kerajaan Norway.
Dr Gilbert tidak mensia-siakan peranannya sebagai sukarelawan luar ketika itu. Selain merawat pesakit, beliau turut meluangkan masa melaporkan keadaan di lapangan kepada media tempatan yang juga wakil kepada media luar seperti BBC, CNN dan Al-Jazeera. Laporannya di media sosial serta surat terbuka yang ditulisnya ketika serangan pada tahun 2014 juga pantas menjadi viral.
DR Gilbert merawat pesakit ketika bertugas di Hospital As Shifa di Gaza.
Laporan buka mata dunia
Laporannya daripada perspektif peribadi dan perubatan, serta gambar menyayat hati yang disertakan, menggemparkan dunia yang lena dan terlupa mengenai kesengsaraan saudara mereka di Palestin.
Nyata pendedahan beliau membuatkan Israel tidak senang duduk kerana berjaya menyemarakkan lagi Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS)," kempen yang amat berpengaruh dalam menggugat kedudukan ekonomi dan politik Israel.
Namun beliau percaya usahanya yang paling penting adalah yang dilakukannya di negara sendiri. Ini termasuk menghidupkan gerakan perpaduan Palestin di Norway dan mendedahkan kepada mereka realiti kehidupan di Palestin. Usaha ini akhirnya menyebabkan perubahan dramatik pandangan Norway terhadap isu Israel-Palestin.
Ketika zaman pro-Zionis Norway, negara itu membekalkan 'heavy water' kepada Angkatan Tentera Israel (IDF) untuk menghasilkan bom atom. Orang kenamaan dan Perdana Menteri Israel, termasuk Golda Meir, juga sering ke
Norway ketika itu.
Bagaimanapun, semua ini berubah pada tahun 2000. Tahun berikutnya menyaksikan Tromsø menjadi bandar kembar Gaza.
Gerakan perpaduan Palestin di Norway sangat kukuh, biarpun ketika pengaruh Zionis masih kuat. Ramai anak muda yang pada asalnya sangsi mengenai kezaliman yang dilakukan IDF ke atas Palestin berubah fikiran selepas ditempatkan di Palestin sebagai tentera keamanan PBB.
"Di sana acapkali dikatakan anak muda yang meninggalkan Norway 99 peratus adalah pro-Israel tetapi bila pulang 99 peratus pro-Palestin.
"Saya rasa hujah terbaik bagi pihak Palestin ialah realiti di lapangan. Lihatlah sistem aparteid yang diamalkan di sana, penindasan diasporanya dan yang paling nyata, pengepungan dan pengeboman yang berulang kali di Gaza," katanya.
Perubahan dasar Norway ke atas Palestin turut memberi impak positif kepada Dr Gilbert. Sebelum tahun 2009, kerja sukarela hanya dilakukan ketika mendapat cuti.
"Kini, saya melakukan kerja amal ini sebagai wakil hospital kerajaan saya," katanya yang bertugas sebagai Ketua Perubatan dan Pakar Anestetik di University Hospital of North Norway dan pensyarah perubatan kecemasan di University of Tromsø.

MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di kem Sabra dan Shatila pada awal tahun 1980-an.
Kempen boikot gugat ekonomi Israel
Sesetengah rakyat Malaysia masih ragu-ragu mengenai keberkesanan Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS)
"Saya faham perasaan itu, tapi kita kena lihat realitinya. Banyak syarikat korporat yang disasar BDS, seperti Veolia dan G4S, mengalami kerugian besar akibat beroperasi dan mengaut keuntungan di tanah Palestin yang diduduki Israel.
"Kita harus ingat G4S yang bertanggungjawab menguruskan penjara kanak-kanak di Israel dan benteng aparteid di Tebing Barat. Kempen BDS Norway menyasar G4S dan ia berkesan. Mereka akhirnya terpaksa gulung tikar di Norway," kata Dr Gilbert.
Syarikat antarabangsa Veolia pula membina landasan kereta api dari Tel Aviv ke Jerusalem secara haram di atas tanah Palestin. Selepas aktiviti mereka didedahkan oleh kempen BDS, syarikat itu kini kerugian berbilion dolar dan menutup operasinya di Israel.
"Jadi tidak syak lagi boikot memang berkesan. Ia menggugat ekonomi Israel. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata negara itu sedang menghadapi dua ancaman strategik iaitu BDS dan Iran. Kini mereka cuba menjadikan sokongan BDS satu jenayah di Amerika Syarikat dan Kanada.
"Sungguh memalukan tindakan itu, kerana BDS satu kaedah bantahan yang aman dan demokratik. Negara Barat pula bukan tidak pernah mengenakan sekatan sedemikian ke atas Iran, Iraq dan Libya," katanya, sambil menambah bahawa dunia Barat mengenakan sekatan ke atas negara lain sejak berdekad lalu.
"Ketika tumpahan darah di Gaza Julai lalu, pihak PBB, AS dan Kesatuan Eropah sibuk mengenakan sekatan, bukan ke atas Israel, tetapi Russia. Ia hanya mengambil mereka beberapa hari untuk mengenakan sekatan ke atas kerajaan dan rakyat Russia. Ini menunjukkan sekatan dan boikot mampu digunakan negara Barat ke atas mana-mana rejim di dunia kecuali Israel," katanya.
Beliau menggesa rakyat Malaysia mengikuti kempen BDS dengan menyasar hanya syarikat besar yang mengaut keuntungan atas penindasan rakyat Palestin. - BERNAMA

Protes dasar Netanyahu


Protes dasar Netanyahu

26 OKTOBER 2015
Protes dasar Netanyahu Protes tersebut turut disertai anggota beberapa parti berhaluan kiri di Knesset.

TEL AVIV - ISRAEL. Ribuan penunjuk perasaan di Israel membanjiri jalan utama di sini, kelmarin sebagai membantah dasar Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang didakwa menjadi punca peningkatan gelombang keganasan di wilayah Palestin termasuk di Genting Gaza.

Protes anjuran kumpulan aktivis, Peace Now itu turut berarak dari Dataran Habima menuju ke ibu pejabat Kementerian Hal Ehwal Ketenteraan sambil melaungkan slogan mendesak pemimpin tersebut menghentikan konflik tersebut dan menyertai sesi dialog dengan Palestin.

Seorang peserta protes, Daniel Dojon memberitahu dia turut serta dalam demonstrasi tersebut kerana situasi dilihat semakin meruncing di wilayah terbabit.

"Saya tidak bercakap mengenai keselamatan sebaliknya krisis ini berlaku kerana kelemahan dalam politik hingga menyebabkan ahli politik Israel menjadi lebih ekstrem," katanya.

Sementara itu, anggota parti berhaluan kiri, Meretz, Zehava Gal-On mendakwa Netanyahu gagal menyediakan keselamatan peribadi untuk penduduk Israel.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra mengesahkan seorang lagi penduduk Palestin maut akibat ditembak tentera Zionis.

Menurutnya, Khalil Hassan Abu Obeid, 25, ditembak dalam insiden pertempuran di bahagian timur Khan Younis. - Press TV

AS kurangkan bantuan kepada Palestin


REUTERS - Kerry (kiri) dilihat berbual dengan Mahmoud (dua dari kanan) selepas menghadiri mesyuarat di Amman, Jordan kelmarin.


AMMAN – Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan bantuan ekonomi kepada pihak berkuasa Palestin, antaranya disebabkan ‘tindakan tidak wajar’ yang dilakukan, kata seorang diplomat AS kelmarin.
Sebuah laman berita Al-Monitor, sebelum ini melaporkan Jabatan Negara AS berniat mengurangkan bantuan kepada Tebing Barat dan Gaza bagi tahun 2016 daripada AS$370 juta (RM1.8 bilion) kepada AS$290 juta (RM1.2 bilion).
Seorang pegawai Jabatan Negara AS yang mengiringi Setiausaha Negara AS, John Kerry dalam lawatan ke Amman, Jordan mengesahkan pemotongan dana bantuan tersebut.
“Keputusan untuk mengurangkan bantuan kepada pihak berkuasa Palestin telah dibuat pada musim bunga lalu.
“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan ini, termasuk tindakan tidak wajar diambil pihak Palestin dan kekangan ke atas bajet bantuan global kami,” katanya kepada wartawan.
Pengurangan bantuan itu tidak berkait secara langsung dengan siri keganasan yang kini membelenggu wilayah Palestin dan Israel, jelas pegawai tersebut.
Sumber itu bagaimanapun menambah; “Kami telah menyatakan dengan jelas kebimbangan tentang retorik yang menimbulkan kemarahan sejak beberapa minggu lalu.”
Al-Monitor yang memetik laporan akhbar Israel, Haaretz menyatakan pemotongan itu menyusul selepas kritikan hebat di dalam Kongres AS mengenai ‘hasutan’ terhadap penduduk Palestin.
Kerry berada di Amman kelmarin untuk mengadakan perbincangan dengan Raja Abdullah II dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengenai cara untuk menamatkan pertempuran berdarah terbaru itu.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada langkah diplomatik mengejut bagi meredakan ketegangan yang dikhuatiri akan memulakan kebangkitan intifada baharu dalam kalangan penduduk Palestin. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3pcVfq9y0 
Hakcipta terpelihara 

Israel mahu patuhi status masjid Al-Aqsa


AFP - PENDUDUK Islam Palestin menunaikan solat Jumaat di pekarangan masjid Al-Aqsa pada 23 Oktober lalu selepas Israel membuka semula sekatan ke atas semua peringkat usia untuk memasuki kawasan masjid berkenaan.


BAITULMUQADDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan mengekalkan pendiriannya kelmarin untuk tidak membenarkan orang bukan Islam bersembahyang di pekarangan masjid Al-Aqsa.
“Israel menegaskan kembali komitmennya untuk mengekalkan status quo terhadap Temple Mount (masjid Al-Aqsa) dalam bentuk ayat dan tindakan.
“Israel akan terus menguatkuasakan polisi jangka panjangnya bahawa orang Islam boleh bersembahyang di masjid berkenaan dan orang bukan Islam hanya dibenarkan untuk melawat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon kepada kenyataan Ketua Setiausaha Amerika Syarikat, John Kerry selepas pertemuannya bersama Raja Abdullah II dan pemimpin Palestin, Mahmud Abbas di Amman.
Kerry memberitahu bahawa Israel bersetuju dengan langkah-langkah untuk meredakan kete­gangan di zon konflik tersebut termasuk kamera pengawasan 24 jam yang tidak dinyatakan di dalam kenyataan Netanyahu.
Ketegangan di Al-Aqsa telah tercetus dalam gelombang baharu yang menyaksikan serangan pisau dan senjata menentang tentera Zionis selepas Israel menyekat umat Islam masuk ke masjid Al-Aqsa. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3pcVIMITP 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, 25 October 2015

Kezaliman Israel menjadi-jadi


290 penduduk Palestin cedera terkena tembakan peluru hidup
25 Oktober 2015 12:01 AM



GAZA CITY 24 Okt. - Sekurang-kurangnya 290 rakyat Palestin ce­dera akibat terkena tembakan pa­sukan keselamatan Israel semasa mereka mengadakan demonstrasi ‘Hari Kemarahan’ di wilayah Gaza dan Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis, semalam.
Sekurang-kurangnya 66 orang daripada mereka cedera semasa bertempur dengan pasukan ke­selamatan Israel di kawasan yang diduduki di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dan Genting Gaza.
Menurut Bulan Sabit Merah Pa­lestin, mangsa cedera akibat ter­kena peluru hidup atau peluru keluli bersalut getah yang dilepaskan tentera rejim Zionis.
Tindakan Israel menarik balik sekatan terhadap lelaki berumur di bawah 40 tahun untuk memasuki Masjid al-Aqsa dilihat dapat meredakan keadaan di tanah suci itu dengan polis menyifatkan solat Jumaat berlangsung dengan aman.
Selain insiden itu, puluhan penduduk Palestin yang lain termasuk wartawan cedera semasa pertempuran di luar Pangkalan Tentera Nahal Oz di daerah Shejaiya berhampiran sempadan Gaza.
Menurut saksi kepada portal Al Jazeera, tentera melepaskan peluru hidup, gas pemedih mata, dan peluru keluli bersalut getah ke arah penunjuk perasaan.
Seorang penduduk, Yehya Kareera, 20, dilapor meninggal dunia petang semalam selepas menderita akibat luka tembakan tentera Israel yang dialaminya dalam tunjuk perasaan minggu lalu.
Bercakap kepada Al Jazeera, pemimpin Hamas, Fathi Hamad berkata, pergerakan itu menggesa supaya diadakan intifada atau kebangkitan rakyat.
“Kami menyokong dan berdiri teguh di sebalik intifada,’’ katanya.
Sejak awal bulan ini, sekurang-kurangnya 53 orang penduduk Palestin terbunuh sama ada oleh pasukan keselamatan Israel mahupun peneroka haram Yahudi dengan hanya lapan kematian di pihak Israel.
Sementara itu, seorang penduduk Palestin ditembak mati selepas didakwa cuba menikam seorang pengawal ke­selamatan swasta di pusat pemeriksaan Israel di utara Tebing Barat hari ini. – AGENSI/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kezaliman-israel-menjadi-jadi-1.150167#sthash.jLZB42DJ.dpuf

Saturday, 24 October 2015

UNSC perlu cari pendekatan selesai konflik Palestin-Israel

PENDUDUK Palestin berlindung akibat konflik Palestin/Israel.
SABTU, 24 OKTOBER 2015 @ 6:30 PM

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) digesa mencari pendekatan lebih berdaya maju bagi menyelesaikannya konflik Palestin/Israel yang belum menunjukkan sebarang tanda akan berakhir selepas berlarutan selama 70 tahun.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, usaha itu penting bagi menamatkan kesengsaraan dan mengelak lebih banyak jiwa terkorban.
Katanya, langkah itu perlu diambil selepas cubaan untuk menamatkan konflik berkenaan melalui rundingan dua hala antara kedua-dua pihak tidak membuahkan sebarang hasil.
"Saya berucap pada Majlis Keselamatan ini untuk menjelaskan pendirian Malaysia mengenai keganasan yang semakin menjadi-jadi di Wilayah Palestin yang Diduduki serta menegaskan tentang usaha sia-sia dalam mencari penyelesaian melalui rundingan hala secara langsung antara Palestin dan Israel.
"Kita memerlukan satu pendekatan lain bagi menyelesaikan masalah ini," katanya dalam wawancara dengan Bernama di New York selepas menyampaikan ucapan itu.
Reezal Merican berkata Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, yang baru kembali daripada melawat Palestin dan Israel serta mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin kedua-dua pihak itu, telah memberi taklimat kepada UNSC tentang keadaan di wilayah berkenaan.
Katanya, Ban menggesa kedua-dua pihak menghentikan keganasan dan mengelak daripada membuat kenyataan retorik dan boleh menimbulkan kemarahan kerana menurut beliau, perbuatan itu hanya memburukkan lagi "kitaran keganasan yang tidak diperlukan".
Sehubungan iu, kata beliau, Ban menggesa UNSC bertindak tegas dan menghalang keganasan daripada terus meningkat.
Reezal Merican menegaskan bahawa di samping usaha yang dilakukan di peringkat antarabangsa untuk mencari penyelesaian bagi konflik itu, Malaysia sentiasa bersungguh-sungguh dan tekal dalam mencari penyelesaian terhadap isu Palestin.
"Keadaan yang ada sekarang (konflik Palestin/Israel) tidak boleh dibiar berterusan.
"Rakyat Palestin, yang paling teruk terjejas oleh konflik itu, inginkan keamanan dan keselamatan, tetapi ia tidak dapat diberi Majlis Keselamatan, yang terus bertegas dengan pendiriannya untuk menggunakan kaedah rundingan dua hala secara langsung.
"Jelas sekali, pendekatan itu tidak membuahkan hasil dan kita perlu mencari cara lain untuk menyelesaikan isu itu.
"Saya menyatakan kepada Majlis Keselamatan bahawa walaupun kita menyokong kuat matlamat penyelesaian dua negara, kita juga semakin meragui bahawa cara terbaik untuk mencapai matlamat itu ialah melalui rundingan dua hala antara Palestin dan Israel," kata beliau.
Reezal Merican berkata, Malaysia juga ingin melihat pasukan pengaman PBB dikerah ke zon konflik itu bagi mengendurkan ketegangan.
Rakyat Palestin juga, katanya, meminta pasukan pengaman PBB memberi perlindungan terhadap mereka, di samping menghalang berlakunya perbuatan mencabul undang-undang antarabangsa dalam memberi layanan terhadap mereka.
Reezal Merican juga mendedahkan beberapa perkara terperinci tentang perbincangannya dengan Menteri Luar New Zealand Murray McCully di New York pada 21 Oktober, yang menyentuh tentang isu Palestin serta usaha mencari jalan untuk mencapai kemajuan dalam Proses Damai Timur Tengah di UNSC di mana New Zealand dan Malaysia menjadi anggota tetapnya.
Malaysia dan New Zealand bekerjasama rapat dalam menangani isu yang ditangani Majlis Keselamatan, termasuk isu Palestin.
"New Zealand sependapat dengan kita dalam isu Palestin. New Zealand bersetuju bahawa penyelesaian terhadap isu Palestin perlu dicapai dengan segera," kata Reezal Merican.
Beliau juga berkata keadaan di Timur Tengah - Syria, Yemen dan Iraq - "amat bergelora" dan menuntut penyelesaian segera untuk menyekat keganasan daripada terus meningkat.
Katanya. kesederhanaan amat diperlukan dalam keadaan seperti ini.
Reezal Merican, yang mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Sweden Margot Wallstrom pada Khamis, berkata negara itu menunjukkan "minat mendalam" terhadap tumpuan Malaysia kepada kesederhanaan.
"Sebagai negara pelbagai budaya, kaum dan agama, Malaysia membuktikan bahawa kesederhanaan menjadi kunci dalam kehidupan bersama secara harmoni dalam kalangan manusia daripada pelbagai kepercayaan, budaya dan etnik.
"Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib Razak) menganjurkan amalan kesederhanaan melalui inisiatif beliau, Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).
"Sweden, yang turut membincangkan isu Palestin dan konsep kesederhanaan kita, berminat untuk meningkatkan hubungan dengan Malaysia berhubung agenda Majlis Keselamatan," katanya.
Sweden mengemukakan pencalonannya untuk menduduki kerusi tidak tetap majlis itu bagi penggal 2017-2018. -- BERNAMA