Beberapa orang penduduk Yahudi ortodoks dikawal oleh polis Israel ketika melawat kompleks al-Aqsa, Baitulmaqdis, baru-baru ini. AFP
BAITULMAQDIS 30 Okt. – Pemimpin politik dan organisasi berhaluan kanan Israel menggesa rejim Zionis supaya segera menawan Masjid al-Aqsa, ekoran tindakan rejim berkenaan menahan penduduk Yahudi Israel yang melakukan upacara keagamaan di masjid tersebut.
Laman web Al Jazeera melaporkan, ketua organisasi Returning to the Mount, Raphael Morris yang tidak berpuas hati dengan penahanan itu berkata, rejim Zionis mengenakan sekatan yang disifatkan sebagai ‘kejam’ terhadap penduduk Yahudi Israel.
“Kami belum bersedia untuk membiarkan keadaan menjadi lebih buruk. Kita (kerajaan Israel) perlu bertindak bukan sahaja untuk menamatkan permasalahan yang berlaku, tetapi perlu menegakkan hak penduduk Yahudi untuk memasuki Al-Quds,” jelas Morris.
Kumpulan tersebut turut mengumumkan akan membayar wang ikat jamin berjumlah AS$516 (RM2,214) terhadap penduduk Yahudi Israel yang ditahan ketika melakukan upacara keagamaan di Masjid Al-Aqsa.
Returning to the Mount dalam laman Facebooknya turut menggesa Israel memusnahkan Masjid Al-Aqsa dan menggantikannya dengan sebuah kuil untuk penganut Yahudi.
Gesaan tersebut dibuat ketika penduduk Palestin berterusan melancarkan tunjuk perasaan menentang peluasan pendudukan Israel, selain berang dengan beberapa polisi ‘keras’ rejim Zionis terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
Penunjuk perasaan Palestin turut menerima layanan buruk apabila tentera rejim Zionis bertindak melepaskan tembakan peluru hidup dan peluru getah serta melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan.
Sejak 1 Oktober lalu, pasukan keselamatan Israel dan penduduk di penempatan haram Yahudi telah membunuh seramai 66 orang penduduk Palestin termasuk penunjuk perasaan yang tidak bersenjata dan anggota kumpulan pemerhati.
Menurut Kelab Tahanan Palestin, lebih 1,000 orang kanak-kanak turut ditahan sepanjang bulan ini.
No comments:
Post a Comment