30 Oktober 2015 12:55 AM
GENEVA 29 Okt. – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas meminta `perlindungan antarabangsa’ ke atas penduduk Palestin, ketika jumlah korban akibat keganasan Israel di wilayah yang dikuasai rejim Zionis itu terus meningkat.
Semasa berucap pada mesyuarat khas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini semalam, Abbas meminta satu pasukan khas dibentuk bagi mendapatkan perlindungan antarabangsa untuk penduduk Palestin dengan serta merta dan segera.
Katanya, situasi kemanusiaan di wilayah Israel dan Palestin adalah yang terburuk dan paling kritikal sejak 1948 merujuk kepada kewujudan Israel.
“Adalah tidak berguna lagi untuk membuang masa berunding demi kepentingan rundingan. Apa yang diperlukan adalah untuk menamatkan penjajahan selaras dengan undang-undang antarabangsa,’’ kata Abbas, sebagaimana dilaporkan portal al-Jazeera.
Abbas pada masa sama menuduh Israel melakukan `pembunuhan di luar bidang kehakiman’ dan meminta tindakan itu dihentikan segera.
“Lindungi kami, lindungi kami. Kami perlukan anda,’’ rayu Abbas lagi merujuk kepada perbuatan ganas Israel menggunakan peluru hidup, peluru logam bersalut getah, gas pemedih mata dan bom tangan pegun ke atas penduduk Palestin.
Sejak 1 Oktober lalu, sebanyak 64 penduduk Palestin dibunuh tentera Israel kerana didakwa melakukan serangan di seluruh Israel dan kawasan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dan Gaza, manakala sembilan penduduk Israel maut akibat dibunuh penduduk Palestin sama ada ditikam ataupun ditembak.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Israel menembak mati seorang lagi penduduk Palestin yang cuba menikam anggota keselamatan Israel dalam kejadian di Tebing Barat, semalam, manakala seorang wanita Israel cedera ditikam dalam kejadian berhampiran penempatan haram Yahudi.
Sementara itu, Amnesty International dalam kenyataannya kelmarin mendapati beberapa kejadian pembunuhan pendudukan Palestin oleh Israel adalah tidak berasas sama sekali dengan tentera rejim Zionis itu menggunakan `kaedah yang tidak sah dan terlalu ekstrim’.
Israel mempertahankan tindakannya itu dengan mendakwa penggunaan senjata diwajarkan ke atas sebarang serangan yang membawa maut. – AGENSI/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/minta-perlindungan-8232-antarabangsa-8211-abbas-1.152191#sthash.9sqflmxO.dpuf
No comments:
Post a Comment