BAITULMUQADDIS – Parlimen Israel semalam meluluskan satu undang-undang bagi membenarkan banduan yang melancarkan mogok lapar dipaksa untuk makan jika didapati tindakan itu membahayakan kesihatan mereka, kata seorang jurucakap.
Undang-undang yang bertujuan untuk menghalang banduan Palestin melakukan mogok lapar itu pada dasarnya telah diluluskan oleh Kabinet Isreal pada Jun 2014 berikutan mogok lapar yang dilakukan secara besar-besaran menyebabkan berpuluh-puluh orang dimasukkan ke hospital.
Biarpun, undang-undang itu tidak secara khusus menyebut tahanan Palestin, Menteri Keselamatan dalam Negeri, Gilad Erdan yang mengemukakan undang-undang itu berkata, tindakan tersebut perlu kerana pendekatan mogok semasa di dalam penjara menjadi salah satu ancaman kepada Israel.
“Undang-undang dengan sokongan 40 daripada 46 undi itu akan digunakan apabila doktor mengesahkan bahawa tindakan banduan terbabit boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan dan nyawanya,” kata anggota parti Likud, David Amselam.
Bagaimanapun, anggota parti pembangkang mengecam tindakan terbaharu itu dengan menyifatkan undang-undang berkenaan bertujuan menyeksakan lagi banduan Palestin sekali gus menghapuskan perjuangan sah mereka.
Malah, tindakan undang-undang itu mencerminkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berusaha memutarbelitkan nilai-nilai demokratik bebas.
Undang-undang itu juga ditentang hebat oleh Persatuan Perubatan Israel.
Menurut Pertubuhan Hak Asasi Awam di Israel, majoriti banduan melancarkan mogok lapar adalah merupakan penduduk Palestin yang ditahan selama enam bulan tanpa sebarang perbicaraan.
“Memberi makan secara paksa, kekerasan atau menggunakan tekanan terhadap individu yang melancarkan mogok kerana membantah cara penahanan mereka adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan,” kata pelapor khas bahagian penderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Juan Mandez sambil mendesak Israel menangguhkan undang-undang berkenaan.
Sementara itu, seorang jurucakap Penjara Israel, setakat ini, terdapat seorang tahanan sivil warga Palestin dan empat banduan jenayah yang melancarkan mogok lapar lebih satu minggu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3hPob8nYX
Hakcipta terpelihara