JEDDAH - ARAB SAUDI.Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras tindakan ganas polis Israel menyerbu dan menyerang Masjid al-Aqsa kelmarin.

Akibat tindakan biadap rejim Zionis itu, sekurang-kurangnya 15 penduduk Palestin mengalami kecederaan dan tujuh lagi ditahan.

Setiausaha Agungnya, Iyad Ameen Madani berkata ia merupakan tindakan provokasi terhadap umat islam dan pelanggaran secara terang-terangan resolusi antarabangsa.

Katanya lagi, Israel dilihat sengaja mencetuskan konflik agama, menggalakkan keganasan dan cuba untuk mewujudkan ketidakstabilan di rantau ini.

"Mereka begitu kejam menyerang umat Islam yang sedang beribadah di dalam masjid. Jadi Israel bertanggungjawab sepenuhnya dengan serangan sistematik ini terhadap Masjid al-Aqsa.

"Tindakan seumpama ini akan memburukkan lagi keadaan di rantau berkenaan,” katanya.

Kelmarin, polis Israel memasuki tempat suci Islam itu dan melepaskan bom gas di dewan masjid dan kawasan sekitarnya kerana mendakwa bagi membenteras kumpulan perusuh Islam.

Kejadian berpunca apabila Israel menghalang umat Islam memasuki masjid bagi memberi laluan kepada sekumpulan masyarakat Yahudi berkumpul untuk mengadakan upacara keagamaan Tisha B'Av. - Press TV