Dalam satu kenyataan yang di­siarkan oleh agensi berita Arab Saudi (SPA), OIC yang dianggotai 56 negara itu berkata, mereka membuat gesaan itu selepas tercetus keganasan apabila pasukan keselamatan Israel menyerang penduduk Palestin yang mengadakan tunjuk pe­rasaan sebagai membantah tindakan penduduk Yahudi menghalang mereka memasuki kawasan Masjid al-Aqsa semasa upacara tahunan keagamaan Yahudi, semalam.
Setiausaha Agung OIC, Iyad bin Ameen Madani menyifatkan “pencerobohan dan pencabulan ke atas Masjid al-Aqsa oleh kumpulan pelampau Yahudi yang tinggal di bawah perlindungan tentera Israel” sebagai “satu tindakan provokasi dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.”
Beliau berkata, penduduk ha­ram Yahudi itu menghalang penduduk Palestin memasuki masjid ber­kenaan dan “menyerang” penduduk Islam yang bersembahyang di kawasan masjid itu.
Madani berkata, OIC merasakan Israel “bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ‘tindakan berte­rusan serangan sistematik Israel ke atas Masjid al-Aqsa yang mencetuskan konflik keagamaan, fahaman pelampau dan mengugat kestabilan di rantau itu.”
Penduduk Palestin berang de­ngan apa yang mereka sifatkan sebagai pencerobohan Yahudi. Mereka boleh melawat masjid ber­kenaan, tetapi penduduk Yahudi dilarang beribadat di kawasan itu.
Kawasan puncak bukit di Bandar Lama Baitulmaqdis, merupakan kawasan yang dianggap suci bagi penduduk Yahudi dan juga masjid suci ketiga bagi umat Islam, selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabi di Madinah.
Polis Israel mendakwa remaja Pales­tin telah membuat persedia­an untuk menyerang mereka, dengan bermalam di dalam masjid itu dan mengumpulkan batu dan bunga api, serta papan untuk menghalang polis Israel menutup pintu-pintu di masjid itu.
Kerajaan Palestin pula berkata, tindakan Israel itu membuktikan ia mahu ‘mengheret rantau itu ke kancah perang agama.’
Jordan, penjaga Masjid al-Aqsa pula berkata: “Pencerobohan berterusan Israel ke atas Masjid al-Aqsa merupakan tindakan provokasi terhadap perasaan penduduk Arab dan Islam... bertujuan membakar api permusuhan.”