Monday, 27 July 2015

Polis Israel masuk Masjid Al-Aqsa

Baitulmaqdis: Polis Israel memasuki Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dengan alasan mengawal perbalahan antara penganut Yahudi yang memasuki kawasan masjid itu sempena Hari Ratapan dengan penduduk Palestin.
Polis Israel yang mendakwa penduduk Palestin melempar batu dan mercun, melepaskan tembakan bom kejutan selepas memasuki kawasan masjid itu sebelum masuk sekejap sejauh beberapa meter ke dalam Masjid Al-Aqsa, kononnya bagi menutup pintu bagi mententeramkan keadaan serta mengunci perusuh di dalam masjid.
Menurut jurugambar AFP, kira-kira 300 anggota keselamatan Israel memasuki kawasan masjid selepas perbalahan bermula membabitkan kira-kira 200 penduduk Palestin. Beberapa penduduk Palestin ditahan tetapi tiada penganut Yahudi ditahan.
Kementerian Luar Palestin mengecam tindakan Israel membenarkan pelampau Yahudi memasuki kawasan masjid yang dianggap sebagai provokasi.
Ia adalah kali pertama anggota keselamatan Israel memasuki masjid itu sejak November lalu, juga kerana berlaku perbalahan antara penduduk Palestin dengan penganut Yahudi.
Penduduk Palestin berang dengan tindakan penganut Yahudi melanggar persetujuan ketika memasuki kawasan masjid itu, yang juga tempat suci Yahudi. Mereka dibenarkan melawat masjid itu tetapi tidak dibenar bersembahyang.
Ketegangan juga meningkat selepas seorang wanita Yahudi mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad minggu lalu.
Selepas polis Israel memasuki Masjid Al-Aqsa November lalu, Jordan memanggil pulang dutanya di Tel Aviv. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 8:44 PM

anggota keselamatan Israel menahan seorang wanita Palestin selepas memasuki Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dengan alasan mengawal perbalahan antara penganut Yahudi yang memasuki kawasan masjid itu dengan penduduk Palestin. - Foto AFP

No comments:

Post a Comment