Monday, 27 July 2015

Zionis pasang kamera awasi jemaah masjid


Ramallah: Rejim Israel dilapor menyiapkan pemasangan kamera pengawasan berkualiti tinggi di bandar Baitulmaqdis Timur yang dijajahnya dengan sebahagian kamera berkenaan meliputi seluruh Masjid Al-Aqsa.

Ia bertujuan membolehkan mereka mengenal pasti dengan jelas gambar jemaah yang keluar masuk masjid berkenaan.

Sekurang-kurangnya dua kamera dipasang di setiap pintu tempat pemegang permit rasmi Israel dibenar melaluinya sebagai tambahan kepada kamera yang dipasang di pintu masuk masjid itu sendiri.

Ketua Akademi Sains dan Warisan Masjid Al-Aqsa Dr Najeh Bakeerat membantah tindakan rejim berkenaan dan berjaya menghalang mereka memasang kamera di dewan solat, taman dan beberapa kemudahan masjid ketiga paling suci umat Islam itu.

Bagaimanapun, rejim penjajah itu berjaya secara paksa memasang kamera bersebelahan pos polis Israel yang terletak dalam perkarangan masjid dan di atas bumbung Qubbat As-Sakhrah.

Najeh berkata, umat Islam kini tidak bebas untuk beribadah di Masjid Al-Aqsa kerana pergerakan mereka diawasi dan dihadkan.

Menurutnya, penjajahan Israel di Baitulmaqdis Timur tidak dapat dihalang dan rejim berkenaan bukan saja mahu mengambil alih
landskap bandar raya itu, malah mahu menghapuskan kehidupan dan ekonomi penduduk Palestin di situ.

“Meyahudikan Baitulmaqdis, khususnya Masjid Al-Aqsa menjadi isu hidup atau mati Israel. Kerana itu mereka menjadikan usaha memusnahkan semua lambang kehidupan Islam di situ keutamaan mereka,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:26 AM

No comments:

Post a Comment