|
BAITULMUQADDIS – Polis Israel menceroboh antara tempat paling suci bagi umat Islam, masjid Al-Aqsa semalam untuk menangkap penduduk Palestin yang disyaki merusuh, kata sumber polis.
Kawasan masjid itu yang turut disanjung orang Yahudi, merupakan antara zon sengketa terbesar di Timur Tengah. Israel sering mengenakan sekatan kepada umat Islam yang ingin memasuki masjid tersebut.
“Perusuh bertopeng melarikan diri ke dalam masjid berkenaan dan mula membaling batu bata ke arah polis dari dalam masjid Al-Aqsa. Mereka juga membaling mercun ke arah polis.
“Memandangkan pertempuran dan tindakan perusuh yang semakin teruk, anggota polis masuk beberapa meter dan menutup pintu masjid berkenaan dengan perusuh di dalamnya bagi mengelakkan lebih banyak kecederaan kepada anggota kami,” kata sumber polis.
Pertempuran kecil terus berlaku di jalan raya dan lorong kecil bandar purba yang mengelilingi masjid itu dengan penduduk Palestin membaling batu dan botol, menyebabkan empat anggota polis Israel cedera ringan.
Seorang wartawan agensi berita AFP mendedahkan, polis Israel membalas dengan tembakan bom grenad kejutan cahaya dan sekurang-kurangnya tiga penduduk Palestin yang membaling batu telah ditahan. Polis Israel memaklumkan suasana kembali aman selepas mereka berundur dari masjid tersebut.
Jordan yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel memanggil pulang dutanya selepas polis Israel masuk ke dalam masjid Al-Aqsa pada November lalu.
Masjid itu merupakan tapak suci ketiga terpenting bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah tetapi juga menjadi tapak paling suci bagi penganut Yahudi. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3h4EadqpF
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment