BEBERAPA orang anggota polis Israel mengasari seorang penduduk Palestin ketika menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, semalam. - AGENSI
BAITULMAQDIS 26 Julai - Sambutan Syawal di Masjid Al-Aqsa terjejas ekoran tindakan ganas pihak keselamatan Israel menggempur masjid itu untuk menangkap penduduk Palestin yang disyaki melakukan rusuhan awal hari ini.
Kekecohan tersebut dipercayai tercetus apabila penduduk Palestin berang dengan tindakan rejim Zionis memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar masjid itu, selain tindakan seorang wanita Yahudi menghina Nabi Muhammad, baru-baru ini.
Dalam kejadian berkenaan, penduduk Palestin yang memakai topeng bertindak melontarkan batu dan menghalang polis daripada memasuki masjid berkenaan, menyebabkan berlaku pertempuran antara kedua-dua pihak.
Menurut laporan portal berita Palestine News Network, kira-kira 10 penduduk Palestin cedera akibat keganasan polis Israel dan enam yang lain ditahan susulan insiden tersebut.
Jelas laporan berkenaan, polis Israel turut merosakkan masjid itu dan melepaskan tembakan peluru getah terhadap remaja Palestin yang membantah tindakan tentera Israel menceroboh rumah suci tersebut.
“Polis Israel merosakkan sistem kebakaran di Masjid Al-Aqsa menyebabkan air membasahi keseluruhan bangunan itu.
“Kekecohan bertambah buruk ekoran tindakan 30 pendatang haram Yahudi memecah masuk masjid berkenaan menerusi pintu pagar Al Magharba,” tambah laporan tersebut.
Pendatang haram Yahudi sering mencetuskan provokasi dengan menceroboh Masjid Al-Aqsa dan tindakan mereka itu disokong oleh kumpulan Yahudi berhaluan kanan dan tentera Zionis.
Masjid tersebut yang terletak di Baitulmaqdis Timur dianggap sebagai tempat suci ketiga bagi umat Islam, tetapi Israel mendakwa lokasi yang sama merupakan kuil suci bagi penganut Yahudi. – AFP
No comments:
Post a Comment