Wednesday 27 August 2014

Israel pelbagaikan sumber bekalan senjata


TEL AVIV 26 Ogos - Israel dilaporkan mula mempelbagai sumber bekalan senjata baharu, selepas Amerika Syarikat (AS) bertindak menghentikan penghantaran peluru berpandu 'Hellfire' kepada sekutu rapatnya itu.
Saluran televisyen i24NEWS yang memetik akhbar Haaretz semalam melaporkan, Israel mula membeli beratus-ratus senjata buatan Rusia sejak kebelakangan ini, walaupun kebanyakan senjata yang digunakan tentera Zionis itu dibuat di Israel.
Awal bulan ini, Wall Street Journal yang memetik seorang pegawai kanan yang tidak dinyatakan melaporkan, White House meminta Pentagon menangguhkan penghantaran peluru berpandu 'Hellfire' kepada Israel dan mengarahkan mereka 'berunding dengan Ahli Parlimen di White House dan Jabatan Negara sebelum meluluskan sebarang permintaan tambahan'.
Sebahagian besar senjata Pasukan Pertahanan Israel (IDF) diperolehi menerusi dana AS yang berjumlah lebih AS$3 bilion (RM9.4 bilion) setahun.
Menurut laporan itu, satu perempat daripada senjata dan peluru itu yang dibuat di Israel disasarkan untuk kegunaan tentera, manakala senjata selebihnya adalah untuk eksport.
Kementerian Pertahanan Israel pula masih tidak jelas tentang soal perdagangan senjata mereka, namun beberapa laporan yang dihantar kepada Daftar Senjata Konvensional Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan banyak berhubung perkara itu.
Ukraine sebagai contoh menjual sebanyak 193 peluru berpandu dan 32 pelancar senjata itu kepada Israel yang kebanyakannya adalah peluru berpandu antipesawat buatan Rusia.
Negara lain yang menjual senjata buatan Rusia kepada Israel ialah Republik Czech menerusi penjualan peluru berpandu taktikal Tochka pada 2006 dan Bulgaria yang menjual sebanyak enam sistem artileri 130 mm kepada rejim Zionis itu pada 2004.
Menurut seorang pakar kepada Haaretz, secara keseluruhannya, kebanyakan senjata Israel dibeli daripada AS dan pemilikan senjata dari negara lain adalah 'dalam skala kecil'.
Britain dan Sepanyol juga dilaporkan menilai semula penjualan senjata mereka kepada Israel dengan Sepanyol memulakan pembekuan selepas menjual kelengkapan ketenteraan kepada Israel berjumlah lima juta Euro (RM20.8 juta) pada tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140827/lu_04/Israel-pelbagaikan-sumber-bekalan-senjata#ixzz3BY2SskTJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment