Wednesday, 27 August 2014

Penduduk Gaza raikan gencatan senjata jangka panjang

RABU, 27 OGOS 2014 @ 9:08 AM

PENDUDUK Gaza meraikan gencatan senjata untuk tempoh jangka panjang yang dipersetujui Israel dan Palestin semalam.
 
JURUCAKAP Hamas Fawzi Barhoum (tengah) bersama rakyat Palestin meraikan gencatan senjata untuk tempoh jangka panjang yang dipersetujui Israel dan Palestin semalam, sekali gus menamatkan pertumpahan darah selama 50 hari yang dianggap paling ganas dekad ini.
PENDUDUK Gaza meraikan gencatan senjata di jalanan.
GAZA CITY: Penduduk Gaza meraikan gencatan senjata untuk tempoh jangka panjang yang dipersetujui Israel dan Palestin semalam, sekali gus menamatkan pertumpahan darah selama 50 hari yang dianggap paling ganas dekad ini.

Perjanjian itu yang dikuatkuasakan hari ini, mengakhiri keganasan yang tercetus sejak 8 Julai lalu yang sudah mengorbankan nyawa 2,143 penduduk Palestin manakala 69 di pihak Israel.

Pihak Palestin berkata, ia adalah perjanjian gencatan senjata yang kekal manakala seorang pegawai kanak Israel pula menyifatkan " ia tanpa syarat dan tidak terhad kepada masa'.

Washington pula memberi sokongan penuh terhadap gencatan senjata terbaharu itu.

"Kami amat menyokong dengan pengumuman gencatan senjata itu," kata jurucakap Jabatan Negara, Jen Psaki.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyuarakan harapan agar gencatan senjata di Gaza itu akan membuka peluang ke arah perbincangan terakhir bagi membentuk perjanjian damai Israeli-Palestinian.

Di Gaza pula, ribuan penduduk keluar di jalan raya bagi meraikan gencatan senjata terbaharu itu dengan setengahnya melepaskan tembakan ke udara iaitu terdiri daripada pejuang Hamas yang bersenjata.

Koresponden AFP melaporkan, penduduk melambai dan bertepuk tangan dengan berbaris panjang di jalan raya sambil menyanyikan lagu kemenangan. Mereka turut mengibar bendera besar Hamas berwarna hijau.

Di masjid pula, pembesar suara jelas kedengaran dengan ucapan kesyukuran dan memuji keagungan Allah apabila perang selama tujuh minggu itu tamat dengan menyaksikan 1.8 juta penduduk Palestin terpaksa meninggal rumah kerana ketakutan akibat dibom tentera Israel.

"Terima kasih kepada Allah kerana perang sudah tamat. Saya tidak percaya saya masih bernyawa bersama anak-anak kami," kata Maha Khaled berusia 32 tahun kepada AFP.

"Ia satu peperangan yang amat kejam. Saya tidak pernah sangka saya akan melihat semula keamanan," katanya.

Kenderaan pula tersekat di jalan raya apabila pemandu membunyikan hon berterusan dengan wanita dan kanak-kanak berkejaran meraikan kemenangan.

Remaja lelaki pula memanjat bumbung rumah dan bangunan sambil mengibarkan bendera. - AFP

No comments:

Post a Comment