GAZA 26 Ogos - Jika penduduk barat sibuk menjalankan kempen cabaran mandi ais untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit neurologi ALS, penduduk Gaza pula melancarkan kempen yang hampir sama, tetapi bukan untuk membanteras penyakit, sebaliknya untuk meningkatkan kesedaran penduduk dunia tentang penderitaan penduduk Palestin di Gaza akibat serangan Israel.
Jika kempen cabaran mandi ais menggunakan sebaldi air yang dicampur dengan ais, yang merupakan sumber yang mahal dan mewah di Genting Gaza, tetapi di wilayah Palestin ini seorang penduduk sebaliknya menggunakan baldi yang mengandungi debu daripada runtuhan bangunan akibat serangan Israel untuk melancarkan kempen 'Cabaran Baldi Runtuhan'.
Akhbar Daily Mail melaporkan, Ayman al-Aloul yang merupakan seorang wartawan Palestin dan orang pertama menyiarkan rakaman dia melakukan cabaran itu berkata, dia perlu melakukan sesuatu untuk menghantar mesej ke seluruh dunia tentang penderitaan di Gaza akibat keganasan Israel.
Ketika membuat rakaman video itu yang berlatarbelakangkan kemusnahan di sebatang jalan raya di Gaza, Ayman berkata, dia tidak menggunakan air kerana sumber itu sukar diperolehi di sini.
"Air lebih penting daripada digunakan untuk disimbah di atas kepala. Jika sumber air banyak sekali pun di sini, kami tidak mempunyai cara untuk membekukannya,'' ujarnya.
Sebaliknya, dia menggunakan debu daripada runtuhan bangunan akibat serangan Israel dan memasukkannya ke dalam baldi untuk melancarkan kempen itu.
Rakaman tersebut disiarkan di akaun Rubble Bucket Challenge (Cabaran Baldi Runtuhan) pada Sabtu lalu dan hampir 2,000 orang telah klik butang `Like' di akaun tersebut.
Ayman berkata, dia boleh melihat faedah daripada kempennya itu apabila mereka yang berprofil tinggi menyertainya, namun dia mahu semua orang yang terlibat turut melakukannya.
"Kempen ini tidak meminta anda menyediakan apa-apa bantuan, cukuplah menawarkan sokongan dan perpaduan untuk penduduk Gaza,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140827/lu_10/Penduduk-Gaza-mandi-debu-runtuhan#ixzz3BY3DEtds
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment