Wednesday, 27 August 2014

Hari bersejarah, rakyat Palestin rai kemenangan


HARAKAHDAILY | .

GAZA: Rakyat Palestin melafaz rasa syukur di atas kemenangan pejuang Palestin khususnya Hamas sehingga memaksa Zionis untuk akur melaksanakan perjanjian damai bermula malam tadi.

Rata-rata mereka keluar berhimpun di jalan-jalan sambil melaungkan Allahuakbar dan mengibarkan bendera negara itu sejurus mendapat khabar tentang keputusan terbaru itu.
Penduduk Gaza yang berlindung di kem-kem pelarian juga telah mula kembali ke kampung halaman mereka selepas mengetahui berita gembira tersebut.

Mesir menjadi tuan rumah kepada perjanjian damai kali ini yang telah diusahakan sejak sebulan lalu.

Pengumuman rasmi tentang hasil rundingan kedua-dua pihak iaitu wakil pejuang Palestin dan regim Zionis itu diumum malam tadi.

Genjatan senjata bermula 7 malam waktu Al-Quds pada Selasa itu sekaligus menamatkan perang yang berlangsung 51 hari bermula 7 Julai lalu.

“Demi menjaga nyawa orang-orang tidak berdosa dan demi menjaga tertumpahnya darah, serta berdasarkan kepada inisiatif Mesir dan Kesefahaman Mesir tahun 2012, Mesir menyerukan kepada kedua belah pihak Palestin dan Zionis untuk menghentikan serangan menyeluruh dan timbal balik," lapor berita rasmi Mesir.

Perjanjian damai itu juga turut disertai dengan pembukaan semua pintu masuk ke Gaza bagi mempercepatkan proses bantuan kemanusiaan dan pembinaan kota Gaza.

Ianya sekaligus menyaksikan bahawa penjajah Israel akhirnya akur dengan tuntutan rakyat Palestin.

Sementara itu, Jurucakap Brigade Izzuddin al Qassam Abu Ubaidah menegaskan bahawa kemenangan Gaza dalam melawan penjajah Zionis merupakan penentu menuju kemenangan mutlak ke atas penjajah Zionis.

Dalam kenyataanya pagi ini Abu Ubaidah menyatakan bahawa tanggal 26 Ogos 2014 adalah kemenangan perlawanan atas penjajah Zionis.

“Kemenangan Gaza berkat kerjasama rakyat dan warganya yang setia melawan kuasa paling kuat dalam era modern di Timur Tengah," katanya.

Beliau juga berkata, Hamas sebenarnya telah menang awal lagi iaitu secara ketenteraan dalam perperangan sebelum kemenangan melalui perjanjian damai malam tadi.
Sejak serangan Zionis ke atas Gaza Julai lalu, sejumlah 2,137 rakyat Gaza gugur syahid manakala dan 11,100 lagi cedera.

- HARAKAHDAILY 27/8/2014

No comments:

Post a Comment