MELIHAT layanan mesra yang diberikan dua penduduk Gaza, Ghasam Salim Abu Azab, 19, dan Mohamad Hassan, 43, ketika rombongan sukarelawan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza melawat Hospital Palestin di Kaherah, Mesir, mencetuskan rasa kagum.
Masakan tidak, baik Ghasam mahu pun Mohamad, kedua-duanya mengalami kecederaan parah di badan akibat terkena serangan bom Isreal, tetapi tiada langsung terlihat raut kesakitan di wajah mereka, sebaliknya hanya kuntum senyuman kepada sukarelawan Malaysia.
Sehinggakan terdetik dihati penulis, apakah mereka ini tidak merasai sebarang kesakitan? Sedangkan Ghasam mengalami putus kaki kanan, patah seluruh kaki kiri, luka pembedahan di perut masih berdarah serta semua jari kaki dan tangannya sedang mereput.
Walaupun tidak banyak kata-kata yang dapat dituturkan remaja itu berikutan kecederaan abdomennya terlalu parah sehingga menyebabkan sebahagian besar ususnya terpaksa dipotong tetapi raut wajah Ghasam tetap tenang, jauh sekali mengerang kesakitan.
Bahkan ketika penulis mencium dahinya sebagai tanda hormat, Ghasam sempat mengucapkan kata-kata 'terima kasih saudaraku Malaysia' sebelum remaja itu bertakbir sebanyak tiga kali dalam nada perlahan akibat kesihatannya yang terbatas.
Begitu juga dengan Mohamad. Tulang kaki kanannya hancur, paha kirinya parah dengan lubang pada lukanya masih basah serta hilang tiga jari tangan kiri. Bapa kepada lima anak itu tidak mampu pun untuk duduk, tetapi tetap melayan kami dengan senyuman.
Malah Mohamad tanpa rasa gerun cuba mengangkat besi yang menyambung kaki kanannya untuk ditunjukkan kepada sukarelawan Malaysia, tetapi dihalang kami kerana bimbang pergerakannya itu akan mencederakan lagi kaki yang mula bernanah.
Menyedari ada beberapa sukarelawan Malaysia tidak sanggup melihat kecederaan separah itu, Mohamad menegaskan kekuatan fizikalnya hanya pinjaman sementara yang diberi Allah bagi membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Israel.
"Inilah kekejaman Zionis Israel ke atas umat Palestin, tetapi kecederaan ini sebahagian daripada pengorbanan kami demi kedaulatan Islam. Janji Allah itu pasti dan sebagai warga Palestin kami harus bersedia untuk berkorban apa sahaja demi bumi suci ini.
"Allah pinjamkan saya kekuatan fizikal sebelum ini untuk mempertahankan agamanya dan inilah buktinya perjuangan bangsa Palestin yang ditindas dan dizalimi Zionis. Saya akan terus berjuang," katanya bersemangat, meskipun dalam segala kepayahan.
Hal yang sama turut berlaku semasa para sukarelawan Malaysia melawat Hospital Hilal dan Institut Perubatan Nasser di Kaherah, apabila kesemua warga Palestin memberi layanan mesra meskipun mengalami kecederaan parah dari aras dada ke bawah.
Ternyata kecanggihan persenjataan, kekuatan ekonomi dan pengaruh politik Israel yang disokong negara kuasa dunia terutama Amerika Syarikat AS tidak sedikit pun membunuh kekuatan rohani umat Palestin biar pun sudah lebih separuh abad dizalimi.
Maka tidak hairanlah kita tidak melihat budaya berebut-rebut makanan berlaku dalam kalangan penduduk Palestin meskipun dalam keadaan mereka ditimpa bencana dan hidup serba kekurangan.
Mereka juga tidak meminta-minta dan sebenarnya kurang selesa jika ada pihak luar datang ke Gaza hanya bertujuan mahu menghulurkan wang.
Sebenarnya di sisi yang lain, kekejaman Israel telah memancarkan lagi kekuatan jati diri serta keimanan penduduk Palestin.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140827/lu_11/Kekuatan-keimanan-penduduk-Gaza-menginsafkan#ixzz3BY3QWU7x
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment