KUALA LUMPUR - Suasana pagi Rabu ini begitu indah bagi Mohamad Alherbawi dan dia berbual dengan penuh bersemangat.

Sejak subuh lagi, pengarah media Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) berpejabat di Kuala Lumpur ini sibuk menghantar mesej kepada semua kenalannya melalui telefon bimbit.
  
"Gencatan senjata berkekalan baru sahaja berkuat kuasa di Gaza sebentar tadi (7 malam waktu Palestin dan 12 tengah malam waktu Malaysia), yang menamatkan satu peperangan dahsyat selama 50 hari di Gaza," katanya dalam mesej kepada Bernama.
  
Sejak tentera Israel mula melancarkan serangan kejamnya di semenanjung Gaza pada 8 Julai, lebih 2,000 nyawa melayang, 10,800 orang cedera, 15,700 rumah musnah, 29 hospital dan 221 sekolah dibedil.
  
Mohamad berkata walaupun dilanda kemusnahan teruk, masyarakat Palestin di sini amat gembira kerana gencatan senjata tercapai juga akhirnya.
  
"Biar apapun yang mereka lakukan, Israel gagal mencapai sebarang objektifnya melalui perang itu, kekentalan semangat rakyat kami di Gaza dan keberanian kami dalam menentang mereka, berjaya menamatkan apa yang dikenali sebagai 'kekuatan tentera Israel yang tidak boleh dipatahkan' untuk selama-lamanya," kata beliau.

Menurut Mohamad, pengunduran tentera Israel dan kegagalan mereka dalam perang itu, dirayakan rakyat Palestin dengan memenuhi jalan raya di Gaza dan pemandu kenderaan membunyikan hon, manakala bunyi tembakan kedengaran di sana sini sebagai tanda meraikan suatu kemenangan.
  
Kegembiraan luar biasa itu dikongsi netizen di seluruh dunia, yang memberi komen mereka melalui media sosial.
  
Dalam laman Twitternya, @kundisanwai menulis 'Gaza membara sejak empat jam lepas, tapi kali ini dengan sambutan, bukan letupan.'
  
Gencatan senjata itu bagaimanapun mengejutkan banyak pihak kerana mereka sukar mempercayai bahawa Hamas dari Palestin dan Israel akhirnya bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata jangka panjang.
  
@Farah_Gazan menulis: 'Bolekah sesiapa percaya bahawa perang sudah berakhir?'
  
Sementara itu, pengerusi lembaga pengarah PCOM Muslim Imran percaya kemenangan yang dicapai itu merupakan satu langkah ke arah pembebasan semua tanah Palestin.
  
"Kami ucap terima kasih kepada semua warga dunia yang berdiri teguh bersama Gaza ketika perang dulu. Usaha dan keprihatinan anda amat bermakna bagi kami," katanya.
  
Reuters hari ini melaporkan para pegawai Palestin dan Mesir sebagai berkata perjanjian berkenaan, yang usahakan di Kaherah, menyeru agar permusuhan segera ditamatkan, sekatan di sempadan Gaza, Israel dan Mesir segera ditarik balik dan zon tangkapan ikan di Laut Mediterranean diperluaskan.
   
Agensi berita itu juga melaporkan bahawa dalam peringkat kedua gencatan senjata itu yang akan bermula sebulan kemudian, Israel dan Palestin akan berbincang tentang pembinaan sebuah pelabuhan laut di Gaza dan pembebasan pejuang Hamas yang dipenjarakan Israel di Tebing Barat yang diduduki, mungkin sebagai pertukaran bagi mayat dua askar Israel yang dipercayai disimpan Hamas.
  
Gencatan senjata itu juga akan membuka jalan kepada penghantaran bantuan kemanusiaan daripada orang awam dari luar Gaza. - Bernama