Wednesday, 27 August 2014

Cabaran Ice Bucket versi penduduk Gaza


Kini penduduk Gaza melancarkan versi mereka sendiri bagi meningkatkan kesedaran mengenai penderitaan yang dialami rakyat Palestin akibat keganasan Israel. 
Namun ia tidak melibatkan sebaldi air dan ais sebaliknya menggunakan sisa runtuhan yang diisi ke dalam baldi dan dituangkan ke atas kepala sama, seperti cabran Ice Bucket. 

Wartawan Palestin yang mula memuat naik video cabaran yang dinamakan Rubble Bucket, Ayman al Aloul berkata: “Saya mesti melakukan sesuatu untuk menghantar mesej jelas kepada seluruh dunia mengenai Gaza.”
Foto
AYMAN mengambil konsep cabaran Ice Bucket dan memperkenalkan cabaran Rubble Bucket.

Video berkenaan dirakam di jalan raya di Gaza yang musnah dalam serangan Israel.

Ayman berkata, dia berminat dengan idea cabaran Ice Bucket itu namun cuba mencari jalan lain agar tidak menggunakan air. 

“Air lebih penting untuk digunakan penduduk Gaza berbanding membazirkannya dengan menyiramnya di atas kepala dan walaupun ada bekalan air, adalah sukar untuk membekukannya menjadi ais,” katanya. 

Dia mengambil keputusan menggunakan sisa runtuhan yang diambil dari tapak bangunan yang musnah. 

Video cabaran Rubble Bucket itu dimuat naik buat pertama kali di laman Facebook kumpulan berkenaan Sabtu lalu. 

Cabaran Ice Bucket yang meminta individu yang mengambil bahagian untuk menderma kepada badan kebajikan berkenaan berjaya mengumpul dana hampir AS$40 juta (RM126.5 juta) untuk Pertubuhan ALS dan digunakan untuk menangani masalah saraf. 
Namun matlamat Ayman lebih mulia daripada itu. 

Katanya, selain ‘bantuan’, dia mahu orang ramai menyuarakan sokongan kepada Gaza. 

“Ia bukan mensasarakan orang tertentu sebaliknya semua orang yang bersimpati dengan nasib penduduk Palestin boleh mengambil bahagian. Kami tidak mempunyai air tetapi ini sahaja yang kami ada. Malah, saya mungkin tidak mendapat bekalan air untuk membersihkan diri apabila pulang ke rumah nanti,” katanya. 

Cabaran itu mendapat sambutan di kalangan pengguna laman sosial seperti Facebook dan Twitter dengan memuat naik video mereka melakukan cabaran dan tag seperti #RemainsBucketChallenge, #rubblebucketchallenge dan #dustbucketchallenge. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

No comments:

Post a Comment