Wednesday 27 August 2014

Israel ranapkan lebih banyak bangunan tinggi


AP
ASAP berkepul ke udara selepas sebuah peluru berpandu milik Israel membedil sebuah bangunan di bandar Gaza semalam.


BANDAR GAZA - Israel mengebom lebih banyak bangunan tinggi di Gaza semalam apabila ia meranapkan sebuah menara pejabat setinggi 13 tingkat dan hampir meruntuhkan sebuah bangunan kediaman 16 tingkat.
Tentera Israel enggan mengulas berhubung serangan itu yang mengenai Menara Bashar dan Kompleks Itali di sini.
Rejim Zionis bagaimanapun berkata, pihaknya menyerang 15 lokasi keganasan termasuk beberapa bangunan yang didakwa menempatkan pusat kawal dan perintah Hamas.
Israel telah menyerang tiga bangunan utama dan antara yang tertinggi di Gaza sejak Sabtu lepas termasuk memusnahkan Menara Al Zafer setinggi 13 tingkat.
Tiada kematian berlaku dalam serangan kali ini apabila rejim Zionis melepaskan bedilan amaran sebelum serangan peluru berpandu sebenar dilancarkan bagi memberi masa kepada penduduk untuk menyelamatkan diri.
Beberapa pegawai Palestin bagaimanapun berkata, seramai 20 orang cedera dalam serangan ke atas Kompleks Itali manakala dua lagi maut dalam beberapa serangan Israel yang lain.
Dalam perkembangan berkaitan, bedilan roket Palestin menyebabkan sebuah rumah di bandar Ashkelon, selatan Israel rosak manakala 10 penduduk Yahudi cedera ringan dalam serangan itu.
Sementara itu, inisiatif damai terbaharu oleh Kaherah menggesa semua pihak agar menghentikan pertempuran yang disusuli pemansuhan sekatan sempadan Gaza oleh Mesir dan Israel.
Fasa kedua inisiatif gencatan senjata itu yang akan bermula sebulan kemudian pula memberi ruang untuk pembinaan sebuah pelabuhan laut di Gaza dan pembebasan tahanan Hamas di Tebing Barat oleh Israel.
Seorang pegawai Hamas, Osama Hamdan berkata, Mesir masih menunggu maklum balas Israel berhubung usul gencatan senjata baharu itu selepas perdamaian lima hari dan lanjutan rundingan gencatan senjata di Kaherah seminggu lalu gagal membuahkan hasil.
Selain Mesir, Amerika Syarikat turut menyiapkan draf sendiri untuk meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan resolusi meminta gencatan senjata diadakan di Gaza.
Terdahulu, beberapa pegawai Palestin berkata, seramai 2,125 orang dengan kebanyakan mereka penduduk awam termasuk lebih 490 kanak-kanak terkorban apabila Israel mula menyerang Gaza sejak 8 Julai lalu.
Rejim Zionis memberi alasan serangan dilakukan bagi menghentikan bedilan roket Palestin ke dalam wilayahnya. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3BXqM5xKU 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment