GAZA CITY 10 Ogos - Israel terus membedil Gaza, hari ini yang menyaksikan 10 orang lagi penduduk Palestin terbunuh ketika perunding Hamas memberi amaran akan meninggalkan Kaherah, jika wakil rejim Zionis Israel tidak hadir ke rundingan membincangkan gencatan senjata yang berkekalan.
Rundingan itu dijadual disambung semula di Kaherah, hari ini dengan pasukan perundingan Israel, namun pegawai rejim Zionis itu menyatakan bahawa mereka tidak dapat menghadiri rundingan itu, sehingga serangan roket Palestin ke wilayah Israel dihentikan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini berkata, rejim Zionis itu tidak akan hadir ke rundingan tersebut sehingga serangan roket dan mortar dari Genting Gaza ke atas Israel dihentikan.
Seorang jurucakap tentera Israel berkata, rejim Zionis itu melancarkan 17 serangan, manakala Hamas melancarkan dua roket ke arah wilayah Israel awal pagi ini.
Portal Arab News melaporkan Israel melancarkan kira-kira 50 serangan udara ke atas Gaza, semalam.
Satu serangan ke atas kompleks keselamatan milik Hamas menyebabkan bangunan tersebut runtuh, namun tiada kematian dilaporkan, manakala tiga buah rumah turut ranap dalam serangan berkenaan.
Sekurang-kurangnya 65,000 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal dan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) berkata, 222,000 orang penduduk Palestin kini mendapat perlindungan di 89 sekolah milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140811/lu_01/Israel-kembali-bedil-Gaza#ixzz3A1rcKQQL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment