Monday 11 August 2014

Penduduk dunia terus kecam Israel


Sebahagian penduduk Perancis mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan mengecam kekejaman Israel di Paris, kelmarin. - AFP
LONDON 10 Ogos - Beribu-ribu penduduk dunia mengadakan perarakan di bandar-bandar utama di seluruh dunia menggesa Israel segera menamatkan serangan di Gaza semalam, sekaligus meningkatkan lagi penentangan masyarakat antarabangsa terhadap keganasan rejim Zionis itu.
Di Cuba, Agensi berita Al Jazeera melaporkan, tunjuk perasaan itu diadakan selepas bekas Presiden Cuba, Fidel Castro menandatangani satu manifesto di Havana bagi menyokong penduduk Palestin dan menggesa Israel mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan penjajahan mereka ke atas wilatah Palestin.
Tunjuk perasaan yang diadakan di sini menyaksikan, mereka yang berarak melaungkan slogan anti-Israel, selain mengibarkan sepanduk tertera perkataan 'tamatkan pengepungan'.
Wartawan Al Jazeera, Nadim Baba melaporkan penunjuk perasaan memulakan perarakan di ibu pejabat BBC, bagi mengutuk tindakan agensi berita tersebut yang didakwa melaporkan berita menyebelahi Israel, sebelum berarak ke Hyde Park untuk menggesa kerajaan mengenakan sekatan penjualan senjata api kepada rejim Zionis Israel.
Sementara itu, di Paris penunjuk perasaan membawa sepanduk mengutuk tindakan ganas Israel ke atas penduduk Palestin yang sehingga kini mengorbankan kira-kira 1,911 nyawa.
Di Berlin, lebih 1,000 orang mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya dua perarakan yang diadakan di bandar itu, sebelum menamatkan bantahan di Central Square.
Pemimpin anti-aparteid Afrika Selatan, Archbishop Desmond Tutu turut menyertai bantahan bersama beribu-ribu orang penunjuk perasaan di Cape Town bagi mengutuk tindakan pengeboman berterusan di Gaza.
"Saya mahu penduduk Palestin diberikan kebebasan, bebas daripada lembah penghinaan, penindasan dan dasar-dasar tidak adil Israel," kata Tutu.
Di Teheran, beratus-ratus orang anggota paramedik, doktor dan jururawat berkumpul di Dataran Palestin bagi menunjukkan kesediaan mereka untuk bertugas di Gaza bagi membantu penduduk Palestin yang cedera.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140811/lu_03/Penduduk-dunia-terus-kecam-Israel#ixzz3A1s99JJB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment