Monday 11 August 2014

Teruskan boikot Israel - PPIM


Nadzim Johan (dua dari kanan) turut serta dalam sidang akhbar mengajak masyarakat memboikot barangan dan perkhidmatan berkaitan Israel di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Usaha memboikot barangan dan perkhidmatan berkaitan Israel perlu diteruskan oleh masyarakat Malaysia untuk memberi mesej jelas bahawa kekejaman terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, isu Palestin bukan isu Islam semata-mata tetapi merupakan isu kemanusiaan yang memerlukan pembelaan masyarakat seluruh dunia.
"Alhamdulillah, kalau lihat dari segi sejarah, kempen boikot Israel yang dilaksanakan kali ini cukup berkesan dan menerima kerjasama yang amat menggalakkan.
"Bagi saya ini fasa permulaan, kita perlu terus memboikot agar gelombang dari seluruh dunia memberi tekanan terhadap peniaga-peniaga yang selama ini begitu angkuh menyokong Israel," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha berkata, kerajaan Palestin amat menghargai sokongan berterusan rakyat negara ini yang memboikot produk keluaran Israel secara besar-besaran.
Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, masyarakat Malaysia perlu terus bersatu agar mesej boikot yang turut dilakukan di seluruh dunia difahami oleh rejim Israel.
"Kempen boikot Israel ini bukan lagi di Malaysia, malah ramai warga dunia tanpa mengira bangsa dan agama turut menyatakan sokongan kepada Palestin dan mahukan kezaliman Israel dihentikan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140811/dn_03/Teruskan-boikot-Israel---PPIM#ixzz3A1vBfQu2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment