Monday, 11 August 2014

Israel tembak mati kanak-kanak 11 tahun


AFP
KEPULAN asap kelihatan di sempadan Israel-Gaza ekoran serangan tentera udara rejim Zionis semalam.


HEBRON - Seorang kanak-kanak Palestin berusia 11 tahun terbunuh selepas ditembak tentera Israel di sebuah kem pelarian di selatan Tebing Barat semalam.
Ketika kejadian, Mohammed Khalil al-Anati dikatakan sedang bermain di luar rumahnya di hujung kem pelarian Al-Fawwar yang terletak di selatan pusat bandar Hebron.
Bapa saudara Mohammed, Yussef al-Anati berkata, dia kemudian ditembak askar dari sebuah unit tentera Israel yang memasuki kawasan kem tersebut.
"Kita tidak tahu apa yang mereka (askar-askar Israel) sedang lakukan," kata Yussef sambil menangis dengan baju yang berlumuran darah selepas membawa anak saudaranya ke sebuah hospital.
"Mohammed sedang bermain di depan rumah dan apabila kami mendengar bunyi tembakan, kami melihat seorang kanak-kanak menjerit lalu jatuh," katanya.
AFP
JENAZAH Mohammed dilihat oleh beberapa orang saudaranya di Hospital al-Ahli, Hebron, selatan Tebing Barat semalam.


Katanya, tembakan itu mengenai belakang badan mangsa dan peluru menembusi bahagian perutnya.
Beberapa pegawai perubatan mengesahkan mengenai kematian kanak-kanak berkenaan.
Tentera Israel menyatakan pihaknya masih menyiasat mengenai laporan berkenaan.
Dalam pada itu, perwakilan Palestin menerima cadangan gencatan senjata baharu selama 72 jam di Gaza, kata seorang jurucakap pergerakan Hamas semalam.
Menurutnya, syarat-syarat gencatan senjata itu kini sedang dikaji ketika tentera Israel menyasarkan beberapa serangan udara di Gaza.
Rundingan mengenai gencatan senjata anjuran Mesir itu dibuat di Kaherah.
Pertempuran antara Israel dan Hamas yang bermula sejak 8 Julai lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,900 penduduk Palestin dan 67 orang di pihak Israel dengan kebanyakan mereka terdiri daripada anggota tentera. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0811&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3A2Ca423C 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment