Monday, 11 August 2014

Masalah sepanjang perjalanan ke Rafah



Penduduk Palestin mengambil kesempatan daripada gencatan senjata di Gaza untuk membeli barangan di sebuah pasar di Gaza City, semalam. - AFP
"Kami bergerak pada pukul 6 pagi. Bersiap-siap untuk 'check out'. Semua barang letak di bawah," kata Ketua Misi Bantuan Aman Palestin ke Gaza, Anas Abdul Wahab melalui pesanan Whatsapp malam itu.
Misi bantuan ini dijalankan pada bulan Ramadan lalu, dan di Kaherah, waktu Subuh adalah sekitar pukul 3.15 pagi. Jadi untuk bersiap pada waktu yang diminta tidaklah begitu sukar.
Selepas selesai bersahur dan solat Subuh, kami sudah bersiap sedia dengan semua peralatan untuk dibawa ke bawah hotel termasuk beg-beg berisi ubat-ubatan yang sudah diasing-asingkan kepada jumlah yang lebih kecil.
Namun, ketika menunggu untuk berlepas, sekali lagi Anas memberitahu kami akan bergerak pada pukul 8 pagi, pula disebabkan kami terpaksa menunggu kumpulan doktor daripada Kesatuan Eropah, Miles for Smiles seramai 13 orang.
Terdetik di hati adakah ini halangan pertama kami untuk ke Gaza? Anggota misi bantuan yang sudah mendaftar keluar hanya duduk di lobi hotel menunggu masa untuk bergerak menuju ke Rafah. Waktu berbuka di Kaherah adalah sekitar 6.20 petang dan bermakna kami harus menjalani ibadah puasa selama kira-kira 15 jam lebih.
Semasa kami mengambil doktor-doktor dari Miles for Smiles itu, mereka memaklumkan bahawa kami terpaksa menunggu dua orang lagi rakan mereka yang akan mendarat pada kira-kira pukul 9 pagi, satu lagi rintangan yang terpaksa kami tempuhi.
Menurut Anas, perjalanan yang agak lewat itu bakal memberikan masalah di pos-pos kawalan sepanjang jalan menuju ke sempadan Rafah.
"Kami dijangka untuk sampai pada pukul 10 di pos kawalan di pintu masuk bandar Al Arish, tetapi kalau macam ini keadaannya, tidak tahulah pukul berapa kamai akan sampai," kata Anas.
Tekaan Anas tepat kerana sebaik-baik tiba di pos kawalan tentera di pintu masuk bandar Al Arish selepas empat jam perjalanan dari Kaherah, mereka menutup laluan ekoran terdapat kekecohan di situ. Rintangan ketiga.
Sebanyak 10 buah bas yang dipenuhi anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan doktor dari Mesir berhimpun sehingga menyebabkan pihak tentera dan polis Mesir yang bersenjata dikerahkan mengawal keadaan.
Bas kami dihalang untuk meneruskan perjalanan. Kami diarahkan pulang ke Kaherah tanpa memberikan sebarang alasan oleh pihak tentera.
Keadaan di pos kawalan itu agak kecoh dengan semua yang hadir dengan 10 bas tadi berhimpun, bersorak sambil mengibarkan bendera Palestin. Pihak tentera bersiap-sedia dengan senjata mengawal keadaan.
Kami... masih duduk di dalam bas memerhatikan gelagat keadaan yang berlaku.
Cuaca ketika itu panas terik. Suhu sekitar 36 darjah Celsius. Nasib baik bas mempunyai pendingin hawa, tidaklah terasa sangat bahang matahari dan perhimpunan di luar. Kami hanya diarahkan duduk di dalam bas dan tidak ke mana-mana. Kami terus memerhati.
Kamera tidak dapat dikeluarkan kerana anggota Miles for Smiles yang diketuai Dr. Issam Mustafa menghalang kami berbuat demikian bagi mengelakkan gangguan daripada pihak tentera jika pemeriksaan dibuat.
Namun, selepas sejam berada di situ tanpa berbuat apa-apa, kami berpatah balik tapi bukan ke Kaherah.
Anas mencadangkan kami ke Ismailliyah yang terletak agak dekat dengan pos kawalan itu kira-kira 80 kilometer dari pos kawalan itu. Setelah separuh perjalanan kami berjaya bertemu dengan sebuah rumah penginapan di Qantara, tidak jauh dari pos kawalan tersebut.
Adakah kami meneruskan perjalanan ke Gaza atau pulang?
Bersambung esok.
Penulis mengikuti misi bantuan kemanusiaan Aman Palestin ke Gaza


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140811/lu_05/Masalah-sepanjang-perjalanan-ke-Rafah#ixzz3A1rxpoSP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment